KUANTAN: Sebanyak 25,000 anak pokok pelbagai spesies akan disediakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bersempena Program Anak Kebangsaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022).

Menurut Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin, penyediaan anak pokok itu akan diagihkan kepada 13 Parlimen di negeri ini mengikut jumlah kelahiran di sebuah kawasan.

“Kita menerina peruntukan sebanyak RM250,000 daripada Bank Rakyat untuk tujuan aktiviti penanaman anak pokok bagi setiap kelahiran bayi di Pahang sepanjang tahun ini. Dijangka kira-kira 25,000 bayi akan lahir tahun ini.

“Pada Khamis lalu, sebanyak 400 anak pokok spesies Merawan Siput Jantan yang ditanam mengikut jumlah kelahiran bayi pada Januari hingga Mac di Parlimen Indera Mahkota,” katanya pada Ahad.

Nurfazliza memaklumkan selain sebagai simbolik kepada kelahiran anak kebanggaan Pahang, aktiviti menanam pokok bagi menjayakan program Kerajaan Pahang "1 Pokok, 1 Rakyat Negeri Pahang.

Jelasnya, bagi tujuan terbabit, pihaknya menyasarkan penanaman lima juta pokok dalam tempoh lima tahun bermula 2021.

Khamis lalu, Menteri Besar , Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Majlis Pelancaran Pahang Pride Kid 2022 Peringkat Negeri Pahang  dengan penanaman 400 anak pokok di Taman Bandar, Indera Mahkota.