SEPANG: Simulasi latihan kecemasan yang digelar Perisai Panthera yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) berjaya memberi gambaran tahap kesiapsiagaan semasa semua unit kecemasan di lapangan terbang berkenaan dalam menghadapi situasi di luar dugaan.

Latihan itu juga merupakan sebahagian daripada keperluan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Operasi Aerodrom) (Pindaan) 2018 dan Sivil Antarabangsa Standard dan Amalan Disyorkan (SARP) Organisasi Penerbangan (ICAO).

Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), latihan tersebut diadakan di Terminal klia2 dan melibatkan penyertaan lebih 770 kakitangan daripada 33 jabatan kerajaan dan agensi swasta.

Latihan selama tiga hari itu membabitkan beberapa siri bengkel, perbincangan membabitkan pelbagai agensi dan penggubalan skala penuh situasi bencana udara yang berpotensi.

Menurut Pengarah urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood, pelaksanaan latihan tersebut membolehkan peserta mengukuhkan koordinasi, keupayaan dan kecekapan mereka mengikut prosedur yang didokumenkan dalam Pelan Kecemasan Aerodrome (AEP) dan juga memberi input bagi tujuan penambahbaikan.

"Komunikasi berterusan dan strategi yang dikongsi di kalangan semua pihak berkepentingan adalah penting dalam meningkatkan kesediaan kita apabila bertindak balas terhadap krisis, atau sebarang keselamatan dan ancaman.

"Kami bertuah kerana mendapat sokongan yang tidak ternilai daripada semua agensi kebangsaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain lagi. Latihan ini adalah manifestasi komitmen kami dalam menjaga kepentingan dan infrastruktur negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kecekapan dalam menyelamatkan mangsa turut diadakan dalam siri latihan kali ini. - Foto Astro AWANI

Lapangan terbang di Malaysia diwartakan sebagai kawasan larangan termasuk KLIA dan dikategorikan sebagai Keutamaan Pemasangan Vital Nasional 1.

Keutamaan 1 adalah merupakan kategori mempunyai ancaman dan kesan tertinggi terhadap keselamatan negara dan kerajaan yang akan berfungsi jika disabotaj atau dimusnahkan.

Pelbagai senario diuji sepanjang latihan tiga hari ini dimana peserta menguji dan menilai kemahiran mereka dalam menguruskan krisis termasuk dalam bertindak balas terhadap sebarang ancaman yang berlaku sekalipun membabitkan perbualan dalam talian.