KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 52 individu yang disyaki terlibat dengan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dalam Operasi Vulture di empat negeri sejak 7 Sept hingga semalam.

Kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga 58 tahun yang terdiri daripada 46 lelaki dan enam wanita termasuk seorang warga Vietnam ditahan di Tangkak dan Iskandar Puteri di Johor; Kuantan di Pahang; Kuala Terengganu dan Alor Setar, Kedah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibupejabat Polis Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata siasatan pihaknya mendapati kesemua suspek adalah anggota sindiket kumpulan 'Ah Han', 'Ah Sing' dan 'Jimmy'.

Beliau berkata sindiket ini dikesan aktif menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

"Modus Operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti 'Facebook', 'WeChat dan 'WhatsApp' dan menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan serta swasta," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata sindiket ini memberikan kadar faedah pinjaman sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus bagi tempoh seminggu.

"Apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, mangsa akan dihubungi oleh ahli sindiket melalui telefon dengan memberikan tekanan berbentuk ugutan dan ancaman seperti mengunjungi kediaman dan tempat kerja peminjam untuk melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan kekerasan jenayah ke atas harta benda milik peminjam.

"Ahli sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baru bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu," katanya.

Beliau berkata ini bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan.

Katanya polis turut merampas antaranya 24 buah kenderaan pelbagai jenis, 142 telefon bimbit pelbagai jenama, 178 keping kad pelbagai bank, 25 buah buku nota mengandungi maklumat peminjam dan wang tunai berjumlah RM341,323.

Mohd Kamarudin berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001).

"Orang ramai diminta membantu PDRM dengan menjadi mata dan telinga menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersial kepada PDRM melalui saluran 'CCID Scam Response Center' di talian 03-26101559/03-26101599 atau melalui aplikasi 'WhatsApp CCID Infoline' di talian 013-2111222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

-- BERNAMA