NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 250 kilogram (kg) dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin yang keseluruhannya bernilai RM18.2 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa lepas.

Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, JKDM menyita 18 kotak dengan 12 daripadanya mengandungi bungkusan plastik lutsinar dengan bahan ketulan kristal disyaki MDMA seberat 232.05 kg dianggarkan bernilai RM17 juta.

"Ia merupakan penemuan terbesar kastam melibatkan MDMA, jumlah tersebut boleh menghasilkan kira-kira 1.5 tan ekstasi.

"Selain itu, turut ditemukan satu kotak mengandungi bungkusan plastik dengan bahan serbuk kristal putih disyaki ketamin seberat 20.55 kg (RM1.2 juta) manakala lima kotak lagi ialah cakera brek kereta," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket terbabit mengisytiharkan barang berkenaan sebagai aksesori kereta sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah berbahaya, sebagai modus operandi bertujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Zazuli berkata siasatan awal mendapati dagangan berkenaan dimport dari sebuah negara di Eropah dan kemudian mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir dan bekalan dadah itu adalah untuk pasaran di dalam negara.

Menurutnya, hasil risikan mendapati pengimport berkenaan menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan sehingga menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan terbabit.

"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai warga tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau menyeru orang awam untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan barangan lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat dengan identiti mereka akan dirahsiakan.

-- BERNAMA