Taktik berselindung di sebalik sebuah syarikat perkhidmatan kurier untuk mengaburi polis ternyata gagal apabila sindiket pengedaran dadah itu akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu premis itu di Jalan Tandang, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memberitahu, berdasarkan maklumat risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu syarikat itu kira-kira pukul 3.20 petang pada Khamis .

"Susulan serbuan itu, kita melancarkan beberapa siri serbuan di kawasan Sg. Way, Bukit Jalil dan Taman Klang Utama serta menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Vietnam," katanya di sini pada Jumaat.

Nik Ezanee memberitahu, hasil ujian kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek lelaki yang berusia 27 tahun dan 37 tahun itu positif dadah jenis ketamin.






Daripada serbuan-serbuan itu, katanya, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan ekstasi bernilai RM181,790 yang dipercayai boleh dibekalkan kepada kira-kira 5,217 orang.

Beliau memberitahu, dadah-dadah itu dibungkus dan dilabelkan sebagai 'Jus Tang Orange', 'Joker', 'Jus Crispy Fruit Guana', 'Jus Superman', 'Jus Superman Bizarro', 'Jus Tang Pine Apple', Jus Crispy Fruit Mango' dan 'Teh Tarik Pra Campur Sao Qian'.

Selain itu tambah beliau, polis turut menyita wang tunai RM320,000, AS$287 mata wang Amerika Syarikat (RM1,252), KHR1300 mata wang Kemboja (RM1.40), ketulan emas, gelang kaki dan loket rantai dipercayai emas yang kesemuanya bernilai kira-kira RM335,000.

"Kita masih meneruskan siasatan dan risikan bagi mengesan sindiket-sindiket lain yang masih aktif dan bebas di daerah ini," katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek itu kini ditahan reman tujuh hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabit bersalah, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali.