KAMUNTING: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis pil yaba selepas menahan dua suspek di sebuah rumah di kawasan Kamunting, di sini malam tadi.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, polis juga menjumpai dan merampas sebanyak 14,000 pil yaba dengan anggaran berat 1,425 gram di dalam rumah tersebut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM280,000.

"Bertindak atas maklumat, pada 7 Mac jam 11.10 malam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, telah menahan seorang wanita dan lelaki, berumur lingkungan 34 hingga 50 tahun.

"Mereka merupakan rakan jenayah dan dipercayai terlibat dengan aktiviti mengedar dadah jenis pil yaba. Ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek dan mendapati suspek wanita positif dadah jenis methamphethamine.

"Semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak September tahun lalu dan dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan.

"Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan dalam anggaran seramai 14,000 orang penagih.

"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988, di mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak telah menyita dua buah kenderaan," jelasnya.

Tambahnya, anggaran jumlah keseluruhan nilai harta yang disita berjumlah RM103,500 dan nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM383,500.

Katanya lagi, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 14 Mac.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati," katanya.

Beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya polis.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkat bagi memastikan Perak bebas daripada jenayah tersebut.