JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan sindiket pengedaran ganja menggunakan taktik menyimpan bahan itu dalam bekas biskut raya dan kacang susulan serbuan dijalankan di bandar raya itu pada 11 April lepas.

Pengarah Kastam Johor Misbahudin Parmin berkata dua lelaki tempatan berusia 27 dan 29 tahun turut ditahan di sekitar bandar raya ini kira-kira 12.05 tengah hari, dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.

Beliau berkata ganja terbabit yang dipercayai diedar menggunakan kurier ke Sarawak, berjaya dirampas menerusi serbuan di sebuah premis syarikat penghantaran dan sebuah rumah di bandar raya ini, pada hari sama.

"Sebanyak sembilan bungkusan dirampas dalam serbuan di syarikat penghantaran itu yang mengandungi 10 ketulan mampat disyaki ganja, ia disembunyikan dalam bekas lut sinar mengandungi biskut raya dan kacang.

"Manakala di sebuah rumah pula, kita menemukan beberapa ketulan tumbuhan mampat dan tidak mampat dipercayai ganja, dengan keseluruhan rampasan ganja adalah sebanyak 24 kilogram di kedua-dua lokasi," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai kes berlainan pula, Misbahudin berkata pihaknya merampas sebanyak 7,242 tin dan botol minuman keras bernilai RM230,000 dipercayai diseludup dari Eropah dan China pada 17 April lepas.

Beliau berkata kesemua minuman keras itu dirampas hasil serbuan di sebuah premis yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan di Kawasan Perindustrian Gelang Patah, di Iskandar Puteri.

"Hasil pemeriksaan terhadap premis yang tidak berpenghuni itu, kita menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai.

"Bagaimanapun tiada individu ditahan dalam kes ini dan usaha mengesan pemilik premis giat dijalankan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA