GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah di negeri itu selepas menahan empat individu termasuk sepasang kekasih dalam serbuan di tiga lokasi di negeri itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut , Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sindiket terbabit cuba mengaburi mata pihak polis apabila membungkus semula dadah menggunakan pek jus minuman sebelum menjualnya di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri itu.

Katanya, taktik itu terbongkar selepas polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Timur Laut membuat tangkapan ke atas suspek pada 28 September bermula pukul 2.30 petang hingga 8.30 malam.

Soffian berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Jelutong, polis menahan lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pemandu e- hailing bersama teman wanitanya  yang berusia 29 tahun.

Penahanan itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek sekali gus berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM168,034.

“Kebiasaannya dadah jenis pek minuman ini adalah untuk  kegunaan pusat hiburan dan kebiasaannya apabila digunakan di pusat hiburan ia adalah bagi mengaburi mata pihak berkuasa. 

“Berdasarkan apa yang kita dapati dadah ini telah dicampur, dibungkus semula dan dijual antara RM150 hingga RM200 di pusat hiburan,” kata Soffian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, pada Isnin.

Beliau memaklumkan, siasatan juga mendapati sindiket yang aktif sejak pertengahan Jun lepas menggunakan aplikasi WeChat sebagai medium menjual dadah kepada pelanggan di negeri itu.

“Hasil siasatan kita juga mendapati modus operandi sindiket ini menggunakan kaedah WeChat… kaedah ini popular sebab pada mereka kaedah ini selamat untuk aktiviti jualan dadah,” jelasnya.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah  jenis MDMA, ketamin ,pil ekstasi dan pil erimin 5 dengan keseluruhan nilai rampasan dadah termasuk sitaan bernilai RM297,184.

Katanya selain dadah, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk membungkus semula dadah dan juga dua kenderaan yang digunakan suspek.

Menurut Soffian, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan 1,000 orang penagih.

Dalam pada itu, Soffian menjelaskan, ketika anggota polis mahu melakukan pemeriksaan  ke atas kenderaan suspek ketiga, suspek bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar kereta dinaiki polis .

Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tujuh das tembakan yang mengenai tayar kereta suspek sebelum mengejar suspek sejauh lapan kilometer dan berjaya menahannya.

Ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah manakala tiga yang lain negatif dadah.

Soffian berkata, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman bermula 29 September sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat  mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 susulan sitaan wang tunai berjumlah RM1,150 serta dua kenderaan.