Sindiket 'lori kebal': 22 lagi penguat kuasa JPJ ditahan SPRM

Astro Awani
April 20, 2019 08:52 MYT
Tangkapan berkaitan sindiket 'lori kebal' itu merupakan siasatan peringkat kedua dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu telah menahan seramai 22 lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai turut terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.
Kesemua lelaki tersebut berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun. Mereka ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4.15 petang Sabtu.
Menurut sumber, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang berkenaan dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.
Jelas sumber, tangkapan ini merupakan siasatan peringkat kedua dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Pada 17 April lalu, Seramai 30 individu termasuk 24 anggota penguat kuasa JPJ telah direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
Antaranya bertujuan melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.
BACA: Lori kebal: 30 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa JPJ direman
VIDEO: Anggota JPJ antara yang ditahan SPRM
VIDEO: Cerita Sebalik Berita: Mengapa lori hantu 'kebal' di jalan raya?
#Azam Baki #JPJ ditahan SPRM #lori kebal #penguat kuasa JPJ #Rasuah #sindiket #SPRM tahan JPJ #terima bayaran #undang-undang