MALAYSIA
Sindiket penyeludupan rekrut penduduk tempatan jadi 'transporter'

Antara cubaan penyeludupan dadah menggunakan kereta yang berjaya digagalkan pihak polis.
KANGAR: Guna nombor pendaftaran palsu, ubah suai kenderaan serta mengupah penduduk tempatan sebagai transporter untuk mendapatkan laluan tikus antara taktik penyeludupan dadah di Perlis.
Ringkasan AI
- Sindiket dadah menggunakan pelbagai taktik termasuk nombor pendaftaran palsu, ubah suai kenderaan, laluan tikus, serta laluan rasmi seperti ICQS Padang Besar dan Wang Kelian. Mereka juga merekrut penduduk tempatan sebagai transporter dan menggunakan bot berkelajuan tinggi untuk laluan laut.
- Sepanjang 2024 hingga Mei 2025, sebanyak 122 kes penyeludupan direkodkan dengan 82 tangkapan termasuk 16 warga Thailand. Rampasan dadah bernilai RM17.9 juta melibatkan syabu, heroin, pil yaba, erimin 5, ganja, daun dan air ketum.
- Polis Perlis berjaya menumpaskan 13 sindiket dalam tempoh dua tahun dan tiada makmal dadah dikesan di negeri itu. PDRM memberi amaran tiada kompromi terhadap kegiatan dadah dan sentiasa memantau kemasukan dadah baharu termasuk fentanyl melalui risikan dan kerjasama serantau.
Bagi jalan laut, sindiket juga menggunakan bot dengan enjin kelajuan tinggi kononnya bagi meloloskan diri sekiranya dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan bagi tempoh tahun 2024 hingga Mei lalu, sebanyak 82 tangkapan termasuk 16 warga Thailand berusia 19 hingga 55 tahun berjaya diberkas.
Menurutnya, penahanan ini hasil 122 kes penyeludupan dadah yang direkodkan.
“Pelbagai jenis dadah berjaya dirampas iaitu syabu, heroin, pil yaba, pil erimin 5 dan ganja selain air serta daun ketum dengan nilai keseluruhan RM17.9 juta.
“Polis percaya Kompleks ICQS Wang Kelian dan Padang Besar antara lokasi sering digunakan sindiket menyeludup dadah selain laluan tikus di Chuping dan sepanjang sempadan dari Wang Kelian ke Padang Besar.
“Laluan laut yang dikenal pasti pula membabitkan kawasan Sungai Baru, Kuala Perlis serta Sanglang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, polis mendapati sindiket akan merekrut penduduk tempatan sebagai transporter.
Katanya, dalang dipercayai kebanyakan berpangkalan di negeri lain dan mereka ini akan bekerjasama dengan sindiket di negara jiran untuk membawa masuk dadah ke dalam negara.
Dedah beliau, bagi tempoh dua tahun iaitu 2023 dan 2024, polis berjaya menumpaskan 13 sindiket yang beroperasi di Perlis dan zon utara.
“Bagaimanapun dalam tempoh dua tahun ini juga, tiada kes melibatkan makmal proses dadah di sini (Perlis), namun operasi pencegahan dilakukan secara berkala bagi membanteras percubaan penubuhan makmal haram ini,” ujarnya.
Ketika ditanya adakah dikesan kemasukan dadah ‘zombi’ atau fentanyl, Muhammad menjelaskan, sehingga kini tiada rampasan dadah terbabit di Perlis.
“Namun pihak kami sentiasa memantau kemungkinan kemasukan dadah baharu melalui risikan dan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan serantau. Kebanyakan dadah popular yang dirampas seperti syabu, ganja, heroin base dan ketamin.
“Kita ada juga mengesan cecair vape berperisa ganja,” jelasnya.
Kata beliau, polis percaya ada warga tempatan berselindung di sebalik perniagaan sah dalam menjalankan kegiatan penyeludupan ini.
Jelasnya, ia bukan sahaja melibatkan dadah tetapi berkaitan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barangan bersubsidi.
“Kita kesan ada segelintir masyarakat setempat di sempadan enggan atau kurang memberi kerjasama kepada pihak polis kerana faktor hubungan kekeluargaan atau saudara-mara yang menetap di negara jiran.
“Teknologi komunikasi canggih yang digunakan oleh sindiket juga merupakan cabaran kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kongsinya.
Pihaknya turut memberi amaran tegas tiada kompromi terhadap kegiatan dadah.
“Mana-mana individu yang teribat akan dikenakan tindakan undang-undang. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis akan mengambil tindakan tegas dengan menggunakan undang-undang sedia ada tanpa mengira siapa mereka dan apa latar belakang,” tegasnya. - Sinar Harian
INFO
(A) Statistik kes penyeludupan 2024 – Mei 2025
- 122 kes
- 82 orang tangkapan (76 lelaki, 6 wanita)
(B) Rampasan dadah
- Syabu: 528.122 kilogram
- Heroin: 29.75 gram
- Pil yaba : 37.49 gram
- Pil erimin 5: 4.09 gram
- Ganja: 55.7 kilogram
- Daun ketum : 21,583.1 kilogram
- Air ketum : 0.14 Liter
NILAI RAMPASAN: RM17.9 juta
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami