GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket peras ugut menggunakan video bogel selepas menahan 14 individu dalam serbuan di lima buah negeri pada 16 September lepas.

Kesemua tangkapan berusia 23 hingga 60 tahun itu ditahan polis bahagian kongsi gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dalam beberapa tangkapan di Pulau Pinang, Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua yang ditahan merupakan pemilik akaun yang digunakan sindiket terbabit memeras ugut mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada penjawat awam, penganggur dan pekerja swasta.

Mohd Shuhaily berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita dengan mangsa yang mengalami kerugian paling banyak adalah sebanyak RM69,000.

“Modus operandi sindiket ini (ialah), mereka memperdaya mangsa dengan membuat panggilan video lucah melalui aplikasi Wechat, Facebook, Michat dan Line di mana aksi dirakam tanpa disedari dan digunakan untuk memeras ugut mangsa,” kata Mohd Shuhaily dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, pada Khamis.

Menurut Mohd Shuhaily, dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan 12 kes di Pulau Pinang dan 27 kes di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Johor.

Beliau berkata, polis juga sedang menjejaki dalang sindiket dan percaya lebih banyak tangkapan akan dibuat selepas ini.

Mohd Shuhaily berkata, kesemua individu yang ditahan terdiri daripada pelajar, pekerja swasta dan penganggur.

Kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah itu ditahan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Kes itu, jelas Mohd Shuhaily, disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 .