Sandakan: Beli dengan harga RM2.50 dan menjual semula dengan harga RM7.90 sekilogram.

Itu taktik sindiket penyeludupan dan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan pada Jumaat.

Kegiatan menyeludup dan menyeleweng minyak masak bersubsidi sejak 22 bulan lalu itu berjaya dihidu KPDNHEP, Sandakan menahan suspek yang berusia 67 tahun di sebuah premis di Batu 14, Jalan Fook Hin, Sandakan kira-kira pukul 8.45 malam.

Ketua Pegawai KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim berkata, selepas melakukan risikan lebih dua minggu dengan kerjasama Pasukan Operasi Cegah Penyeludupan (OCP) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), lokasi berkenaan berjaya dikenal pasti sebagai stor dan tempat penyelewengan dijalankan.

"Modus operandi suspek ialah dengan membeli minyak masak satu kilogram dalam pek daripada pemborong kemudiannya menjenamakan semula minyak terbabit sebagai minyak masak industri dengan harga yang lebih mahal.

"Minyak subsidi itu dibeli dengan harga RM2.50 sekilogram dan apabila dijenamakan semula ia akan dijual dengan harga RM7.90 sekilogram. Suspek memperoleh keuntungan sebanyak RM5.40 setiap kilogram hasil penjenamaan semula minyak bersubsidi itu," katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Mohamad, siasatan awal mendapati minyak masak yang sudah dijenama semula itu dipercayai diseludup ke negara jiran, Filipina.

Selain itu, beliau memberitahu, ketika serbuan, terdapat pekerja sedang memotong minyak masak satu kilogram dan dimasukkan ke dalam tong berwarna hitam sebelum dimasukkan ke dalam tangki plastik dengan anggaran 8,085 kilogram.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1967.