IPOH: Pendekatan sinergi antara industri dengan institusi pengajian tinggi (IPT) diperluas ke politeknik serta kolej komuniti (POLYCC) sebagai langkah memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu adalah antara pendekatan baharu dalam mendepani perubahan dunia pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi terhadap bidang baharu termasuk TVET.

"Jika sebelum ini kita hanya menekankan sinergi antara industri dengan kursus ditawarkan di universiti, kini ia turut diperluas ke politeknik dan kolej komuniti sebagai usaha mengangkat kedudukan pengajian dalam bidang teknikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Industri Nexus POLYCC 2024 (INDex POLYCC 2024) di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.

Zambry berkata pihaknya kini juga sedang melaksanakan sistem pembelajaran berasaskan kerja dan pelajar-pelajar bidang kemahiran digalakkan meneruskan pengajian semasa dalam industri (pekerjaan) untuk memperoleh sijil tahap lebih tinggi termasuk ijazah.

"Kita sedang fikirkan mungkin dua tahun di kampus, dua tahun di industri (untuk layak dapat sijil lebih tinggi), dan sistem ini telah kita mulakan bagi kursus di MTUN (Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia) dan di Politeknik Ungku Omar juga ada kursus-kursus yang ditawarkan sehingga peringkat ijazah," katanya.

Sementara itu, Mohd Zahari dalam ucapannya berkata kebolehpasaran lepasan politeknik mencatat 97.1 peratus pada tahun lepas dan menarik lebih 30,000 pelajar bagi ambilan baharu, baru-baru ini.

"Kejayaan besar ini antaranya kerana sokongan padu 19,000 industri sama ada dalam bentuk tajaan peralatan, biasiswa, penempatan latihan industri dan perkongsian kepakaran," katanya.

INDex POLYCC 2024 merupakan platform Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) berinteraksi dengan 20 Ahli Majlis Penasihat Industri Politeknik, membolehkan pensyarah dan pelajar mendapat manfaat melalui penawaran program mengikut keperluan industri, latihan industri terkini sekali gus meningkatkan kebolehpasaran siswazah.

Pada majlis sama, sebanyak 45 pemain industri menerima Watikah Pelantikan CEO@POLYCC termasuk pengarah terkenal yang juga Pengarah Urusan Skop Production Sdn Bhd Datuk Yusof Haslam diikuti sesi pertukaran 15 Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPPKK dengan industri.

Dalam pada itu, pihak Yayasan Telekom Malaysia (YTM) turut menyerahkan sumbangan bernilai RM3.5 juta kepada JPPKK melalui pelancaran TM TVET Madani @ POLYCC sebagai usaha sinergi dan kolaborasi antara YTM dengan JPPKK dalam memartabatkan institusi TVET di Malaysia.

Peruntukan itu antara lain bertujuan melaksanakan aktiviti penyediaan kemudahan pembelajaran mengikuti spesifikasi industri serta latihan dan pensijilan profesional menerusi bidang fokus seperti keselamatan siber, pengkomputeran awan dan ujian perisian.

-- BERNAMA