Pihak berkuasa Singapura telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Low Taek Jho atau Jho Low dan Tan Kim Loong pada April-Mei 2016 dan Notis Merah dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol) pada Oktober 2016 apabila Singapura mengemukakan permohonan, selepas mereka disyaki melakukan kesalahan di negara ini dan tidak dapat dikesan di sini.

Notis Merah Interpol adalah permintaan oleh negara anggota untuk mencari dan menahan individu yang dikehendaki berdasarkan waran tangkap sesebuah negara yang sah.

"Semua anggota Interpol, termasuk Malaysia, akan menyedari Notis Merah itu sebaik ia dikeluarkan," menurut kenyataan bersama oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD), Pasukan Polis Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini.

Kenyataan itu berkata agensi penguatkuasaan undang-undang Singapura telah secara aktif menyiasat kemungkinan pengubahan wang haram dan kesalahan lain yang berkaitan dengan aliran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula Mac 2015.

"Singapura tidak akan bertolak ansur bagi penggunaan sistem kewangannya sebagai perlindungan atau saluran untuk dana haram," menurut kenyataan itu.

"Kami telah mengambil tindakan tegas terhadap institusi kewangan dan individu yang melanggar undang-undang dalam bidang kuasa kami berkaitan aliran dana 1MDB, termasuk tuduhan jenayah dan sabitan, serta mengenakan denda kewangan yang besar.

"Siasatan masih diteruskan terhadap beberapa suspek individu lain yang terlibat dalam kesalahan berkaitan 1MDB di Singapura," menurut kenyataan itu.

BACA: Jho Low, Nik Faisal mesti hadir bantu siasatan tanpa alasan - SPRM

BACA: Jho Low akan hubungi SPRM


Kenyataan itu juga berkata pegawai dari AGC, CAD dan MAS telah mengadakan mesyuarat dengan Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia diketuai bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di Singapura pada Khamis.

Mesyuarat itu diadakan atas jemputan pihak berkuasa Singapura dan diikuti mesyuarat terdahulu dengan Pasukan Petugas Khas 1MDB minggu lepas di Kuala Lumpur.

Ia adalah mesyuarat yang sangat produktif, dengan pertukaran maklumat yang bermanfaat. Singapura telah menyediakan maklumat kepada Malaysia mengenai aliran dana berkaitan 1MDB, sejak Mac 2015, dan ini diakui oleh Malaysia.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA