SIPP-YTL bukti kepakaran tempatan siapkan Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru

Tunku Mahkota Ismail (dua kiri) berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis itu dengan diiringi Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua kanan) dan Pengarah Urusan SIPP-YTL JV, Datuk Seri Yeoh Seok Hong (kanan). - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru merupakan satu pencapaian yang membuktikan kemampuan jurutera dan tenaga kerja tempatan dalam membina infrastruktur bertaraf dunia.
Pengarah Eksekutif SIPP Rail Sdn Bhd dan YTL Construction Sdn Bhd (SIPP-YTL JV), Yeoh Keong Yuan berkata, pihaknya bangga kerana diberi kepercayaan dalam menyempurnakan projek berimpak tinggi.
“Memang membanggakan kami kerana kita berjaya membina satu infrastruktur baru bertaraf dunia dengan menggunakan jurutera dan tenaga kerja tempatan. Projek ini bukan sahaja menepati piawaian keselamatan dan kualiti tertinggi, malah penyerahan rasmi hari ini menandakan kejayaan besar bagi industri pembinaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyempurnaan dan pengoperasian landasan berkenaan pada Khamis di Stesen KTMB Kempas Baru yang disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Mengulas peranan projek tersebut dalam pembangunan Johor, beliau berkata, negeri itu kini muncul sebagai antara pusat pertumbuhan utama dengan kemunculan pusat data, pembangunan infrastruktur dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Sebagai kontraktor, peranan kami ialah membantu Kerajaan Persekutuan memperkukuh lagi kemasukan pelaburan ke Johor. Infrastruktur ini dijangka meningkatkan daya tarikan pelaburan dan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru,” ujarnya.
Sebagai simbol penyempurnaan, Pengarah Urusan SIPP-YTL JV, Datuk Seri Yeoh Seok Hong menyerahkan projek itu secara rasmi kepada Kementerian Pengangkutan yang diwakili oleh menterinya, Anthony Loke.
"Pembinaan landasan ini menuntut ketepatan kejuruteraan yang tinggi, daripada landasan, jambatan, stesen, depot sehingga sistem sokongan, setiap komponen dibina mengikut piawaian bertaraf dunia bagi mencapai prestasi dan kecekapan terbaik. Landasan ini menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan rel negara,” kata Yeoh Seok.
Projek strategik ini melengkapkan penghubung terakhir rangkaian tren elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru, sekali gus menandakan lonjakan besar dalam transformasi mobiliti negara.
Landasan rel sepanjang 192 kilometer ini dibangunkan oleh SIPP-YTL JV sebagai sub-kontraktor utama tempatan, dengan usaha memodenkan koridor rel di Johor melalui pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan warisan negeri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


