KUALA LUMPUR: Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bagi menilai prestasi kerja penjawat awam yang akan bermula tahun ini merupakan langkah tepat, jelas serta lebih objektif.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Dr Mazlan Che Soh berkata sudah tiba masanya sistem penilaian prestasi penjawat awam ketika ini diubah kepada kaedah baharu itu kerana ia bersifat lebih telus.

Mazlan yang merupakan pakar pentadbiran awam dan politik semasa berkata kaedah sistem DEEP juga dijangka lebih efektif bagi meningkatkan produktiviti penjawat awam untuk melaksanakan tugas kerana tidak mahu menjejaskan markah petunjuk prestasi utama (KPI) mereka.

"Melalui DEEP, mereka (penjawat awam) akan dinilai secara adil berbanding sistem penilaian prestasi sedia ada yang lebih bersifat subjektif seperti pegawai yang menilai penjawat awam di bawahnya hanya 'agak-agak' markah yang perlu diberikan.

"...tetapi dengan adanya DEEP, penjawat awam akan diberikan mata 100 peratus pada peringkat awal dan demerit akan dikenakan sekiranya mereka tidak mencapai sesuatu objektif atau Sasaran Kerja Tahunan (SKT) ditetapkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menyokong sistem DEEP diperkenal, Mazlan berkata bagaimanapun, setiap penjawat awam sama ada yang menilai atau dinilai prestasi kerja perlu diberi latihan dan maklumat lebih terperinci mengenai kaedah demerit dalam sistem itu.

Pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata semua penjawat awam akan dinilai menggunakan DEEP bermula tahun ini dan pelaksanaan sistem itu telah dipersetujui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mohd Zuki berkata sistem DEEP diperkenal bukan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi bagi memastikan sistem penilaian relevan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula mahu DEEP dilaksanakan dengan adil dan telus bagi memastikan setiap penjawat awam mempunyai peluang kemajuan kerjaya dalam perkhidmatan mereka.

"Kelebihannya di sini ialah penjawat awam akan berusaha untuk tidak melakukan kesalahan supaya tidak dipotong markahnya dan buat kerja dengan baik.

"Penting juga untuk disebut bahawa markah yang ditolak nanti perlu jelas apa perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan demerit supaya ia adil kepada semua penjawat awam," katanya.

Menyentuh mengenai kepentingan penjawat awam di negara ini, beliau berkata penjawat awam memainkan peranan yang penting terutama dalam menggerakkan dasar kerajaan sekali gus menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

"Mereka yang bertugas dalam badan beruniform dan ada juga kakitangan biasa yang menggerakkan apa jua keputusan, formula, perbelanjaan dan belanjawan yang telah diluluskan Parlimen, mereka yang menjadi perantara," katanya.

-- BERNAMA