KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyifatkan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini telah hancur.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau susulan tindakan beberapa wakil rakyat yang bertukar parti serta didakwa dibeli meskipun mendapat undi rakyat dalam pilihan raya sebelum ini. 

Menurut Mohamad, undi yang diperoleh dalam pilihan raya tidak lagi berharga serta tindakan berkenaan menyebabkan majoriti rakyat kini semakin tidak sukakan ahli politik.

"Rakyat menjadi penentu untuk mengangkat parti parti tertentu menjadi pemerintah melalui peti undi. Inilah sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Tetapi sistem ini telah hancur.

"Wakil-wakil rakyat boleh dijual beli dan bertukar tukar parti setelah memenangi pilihan raya dengan undi rakyat. Undi rakyat tidak lagi berharga," ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.

Malaysia, kata Mohamad, tidak mengamalkan sistem komunis yang memilih pemerintah daripada satu-satunya parti sebagaimana di China.

Bahkan, Malaysia juga tidak memberi kuasa mutlak kepada raja untuk menentukan segala galanya.

"Kita mengamalkan demokrasi dan konsep Raja Berpelembagaan. Semuanya telah hancur," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berharap, rakyat perlu berazam meletakkan kembali asas-asas demokrasi yang telah wujud sebelum merdeka.

Beliau turut mengakui, dalam setiap pilihan raya pasti ada kepincangan selain tidak sempurna, namun, demokrasi mesti dihormati.

Bahkan, prinsip pilihan raya, tegas Mohamad, akan memperlihatkan yang majoriti menjadi pemerintah, yang minoriti menjadi pembangkang.

"Apabila wakil rakyat boleh dijual beli di pasaran politik negara, maka tidak mustahil wakil rakyat juga boleh dibeli di peringkat antarabangsa yang ianya merupakan ancaman kepada negara.

"Oleh itu kita semua rakyat Malaysia perlu bertindak segera untuk meletakkan kembali asas demokrasi untuk mengembalikan keharmonian hidup rakyat Malaysia," ujar beliau lagi.