PUTRAJAYA: Rafizi Ramli mengkritik tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), mengaitkan dengan akta tertentu sedangkan mereka tidak begitu faham dengan akta tersebut.

Menteri Ekonomi itu berkata, hujah yang digunakan adalah berkaitan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), menggesa sistem itu tidak dilaksanakan sehingga akta itu ditambah baik.

Tegas Rafizi, PADU adalah data yang dikumpul, bukannya data baharu dan sekiranya semua data daripada agensi kerajaan dikaitkan dengan PDPA, maka semua agensi perlu ditutup.

Tambahnya, akta tersebut hanya terpakai kepada data awam dikumpulkan pihak swasta dan bagi agensi kerajaan yang mengumpul data, mereka terikat dengan akta jabatan sendiri.

“Saya faham orang risau dengan keselamatan data tapi kita juga kena faham bahawa penjawat awam mempunyai berpuluh akta yang mengawal selia pengendalian data.

“Risiko yang ada, bukan sangat pada penjawat awam tapi dengan aplikasi yang ada. Kita harus adil. Sebelum ini tiada masalah mendaftar di sana, mendaftar dengan pelbagai agensi kerajaan.

“Tapi bila kerajaan nak digitalkan servis itu, kuat kuasakan pemusatan data seperti ini, tiba-tiba semua jadi terpaling data. Kita perlu adil dengan perkara itu.

“Memahami konsep sepenuhnya adalah penting…kalau tidak, kita nampak mengarut. Kalau kita bercakap dengan akta yang kita tak faham, kita akan nampak mengarut,” katanya.

Tambah beliau, jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai akta tersendiri dalam mengendalikan data awam.

Begitupun, syarikat swasta tidak mempunyai akta sebegitu dan kerana itu, PDPA dilaksanakan untuk mengawal data dikongsi kepada syarikat swasta.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Lawyers For Liberty (LFL) yang berpendapat sistem itu tidak harus dilancarkan selagi PDPA tidak diperkasakan.

“Saya cadangkan baca akta itu satu-persatu. Itulah sebabnya data kerajaan sebelum ini tidak boleh disatukan.

“Setiap jabatan kerajaan ada akta. Kalau nak gabung data, kena melalui proses tersendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sidang Media Pasca Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di Putrajaya pada Khamis.