MALAYSIA

'Sistem pendidikan belum dalam krisis tapi berisiko ke arah itu'

Sinar Harian 28/10/2025 | 23:50 MYT
Chi Yang berkata, walaupun negara berjaya melahirkan graduan berdaya saing di pasaran kerja, keseimbangan antara akademik dan pembangunan sahsiah perlu diberi perhatian sama rata. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Pendidikan negara belum berada dalam keadaan krisis namun berisiko menuju ke arah itu sekiranya tidak ditangani segera.

Setiausaha Publisiti DAPSY, Ho Chi Yang berkata, keadaan itu jika dibiarkan berlarutan boleh menjejaskan kualiti dan kesejahteraan keseluruhan ekosistem pendidikan negara.

“Walaupun kedudukan universiti awam kita meningkat, persoalan timbul sama ada pencapaian itu benar-benar mencerminkan realiti sebenar pendidikan negara?

“Kita lihat pula baru-baru ini masyarakat turut dikejutkan dengan kejadian buli dan pembunuhan melibatkan pelajar. Ia menimbulkan persoalan sama ada sekolah kita benar-benar selamat,” katanya selaku panel Program Meja Bulat: Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis anjuran Sinar Harian.

Chi Yang menegaskan, insiden tersebut menggambarkan keperluan segera untuk memperkukuh aspek perlindungan, nilai dan kesejahteraan emosi dalam kalangan pelajar.

Katanya, walaupun negara berjaya melahirkan graduan berdaya saing di pasaran kerja, keseimbangan antara akademik dan pembangunan sahsiah perlu diberi perhatian sama rata.

“Ketelusan dalam sistem amat penting supaya masyarakat dapat menilai keberkesanan dasar pendidikan negara dengan jelas,” jelasnya.

Chi Yang menyifatkan cabaran keselamatan pelajar dan pelaksanaan dasar sebagai tamparan berganda yang memerlukan tindakan segera daripada pihak berkaitan.

Beliau turut menekankan keperluan mengurangkan beban tugas guru agar mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pemantauan kebajikan pelajar.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memastikan peruntukan pendidikan sampai kepada sasaran dengan pelaksanaan penyelenggaraan kemudahan asas sekolah secara berkala termasuk tandas dan padang. - Sinar Harian




#pendidikan #Ho Chi Yang #krisis #buli