MALAYSIA
Sistem UPUOnline telus, tiada kompromi - Zambry

Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengambil maklum seorang pelajar cemerlang STPM dikatakan tidak memperoleh kursus serta universiti pilihannya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan sistem pemilihan dan keputusan UPUOnline bagi kemasukan pelajar ke universiti awam adalah jelas dan tiada kompromi.
Jelas beliau, semua pelajar yang memperoleh keputusan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijamin tempat untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), ini sudah menjadi dasar kerajaan sejak sekian lama.
"KPT ambil maklum seorang pelajar cemerlang STPM dikatakan tidak memperoleh kursus serta universiti pilihannya, iaitu jurusan perakaunan di Universiti Malaya (UM). Perkara ini dibangkitkan Ahli Parlimen, Datuk Seri Rikasyong supaya pelajar itu mendapat tempat berdasarkan kelayakannya.
"Saya telah minta pihak Universiti Malaya untuk menjelaskan apa asas dan alasan yang boleh diterima. Kita tidak mahu timbul salah faham, seolah-olah kementerian atau sistem UPU tidak telus. Saya yakin universiti tentunya mempunyai sebab mereka tersendiri."Untuk makluman, pelajar berkenaan sebenarnya sudah menerima tawaran bersyarat (conditional offer). Tawaran tersebut diberikan melalui saluran terbuka berdasarkan permohonan asalnya," jelas Zambry dalam satu rakaman video menerusi saluran rasmi KPT.
Tambah Zambry, dalam kes tertentu, ada segelintir pelajar kurang upaya (OKU) tidak mendapat tempat kerana kekurangan kemudahan di universiti terlibat, kementerian sudah melakukan intervensi bagi memastikan mereka mendapat peluang melanjutkan pengajian.
"Kita sentiasa beri perhatian kepada kes khas seperti ini kerana tidak mahu ada pelajar tercicir.
"Kita harus tahu, pada peringkat UPU, proses pemilihan pelajar dilaksanakan menggunakan sistem sedia ada yang telah lama diguna pakai dan bukannya sesuatu yang baharu.
"Malah, sistem ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa," kata Zambry.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami