Media Britain, The Daily Telegraph hari ini menayangkan sebuah video yang dirakam pada tahun 1997 yang memaparkan salah seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa perhambaan di London sebagai seorang warganegara Malaysia, Siti Aisyah Abdul Wahab.

Video tersebut dirakam oleh krew dokumentari ITV telah ditayangkan pada enam tahun yang lalu dimana ianya menunjukkan tiga wanita sedang 'memarahi' seorang lelaki yang mahu bertemu dengan aktivis Maoist terkenal sekitar 1970an, Aravindan Balakrishnan.

Krew tersebut sedang merakam sebuah dokumentari bersempena kematian seorang wanita, Sian Davies, yang meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkap kamar mandi kediaman yang disewa oleh Aravindan yang turut dikenali sebagai Komrad Bala dan isterinya, Chanda.

Paparan video tersebut turut menayangkan seorang wanita dipercayai kelahiran Ireland, Josephine, 57, yang muncul di depan pintu rumah tersebut dan menuduh krew yang mahu bercakap dengan Komrad Bala itu sebagai ejen sebuah negara fasis.

“Kamu semua adalah sebahagian dari negara fasis. Kami tidak mahu bercakap dengan kamu,” katanya kepada mereka.

Kemudian seorang wanita berkaca mata dipercayai Siti Aishah muncul dan memberitahu kepada lelaki tersebut bahawa mereka tidak mahu bercakap dan bertemu dengan mereka sebelum menutup pintu rumah tersebut pada akhir video klip tersebut.

Siti Aisyah dan Josephine dipercayai antara tiga wanita yang dibebaskan pada 25 Oktober di London setelah salah seorang dari mereka secara rahsia menghubungi sebuah pertubuahn kebajikan.

Seorang wanita lagi yang turut dibebaskan merupakan seorang wanita Britain berumur 30 tahun.

Aravindan dan isterinya Chanda telah dituduh menjadikan wanita-wanita tersebut sebagai hamba selama 30 tahun.


Video bertarikh 26 November 2013 ini telah dimuatnaik oleh The Telegraph.