MANTERA apakah yang telah dijampi hingga membuatkan 10,000 peminat seolah terpukau disihir vokal emas penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza?

Jika ada “Sitizoners tiruan” yang berada di Axiata Arena minggu lalu semata-mata mahu mencari cela pada kehebatan vokal penyanyi itu sewajarnya menyediakan hujah mereka dengan bernas.

Ternyata harta paling berharga itulah yang menjadi nadi akan indahnya malam itu bukan biasa-biasa.

Itulah yang dapat disimpulkan setelah menyaksikan penyanyi nombor satu negara itu yang melunaskan tanggungjawabnya di kemuncak siri konsert jelajahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam minggu lalu.

Umum mengetahui pentas konsert bukanlah sesuatu yang asing buat penyanyi yang usianya sudah mencecah siri angka empat.

Seawal usianya belasan tahun lagi, lokasi seperti Stadium Nasional dan Stadium Putra (sekarang Axiata Arena), Istana Budaya dan The Esplanade Singapura, Istora Senayan Jakarta hinggalah ke Royal Albert Hall London sudah menjadi halaman tempatnya bermain saban tahun.

Untuk kesekian kalinya, karisma dan kredibiliti penyanyi itu diuji dengan persembahan rangkaian lebih 20 buah lagu malar segarnya sepanjang lebih dua jam tanpa henti.

Ternyata, Siti lulus dengan cemerlang. A1 (kalau di zaman saya dulu) vokal emas dan zon selesa.

Tidak keterlaluan jika saya katakan dengan aset vokal tidak ternilai yang dimiliki Siti telah meletakkan beliau dalam zon selesa yang cukup membahayakan.

Vokal emas itu terus membayangi tenaga produksi di sekeliling Siti yang sepatutnya menjadi faktor penolak kepada penyanyi itu untuk menjadi lebih berani bermain dengan risiko.

Sudah menjadi resam manusia pasti akan gentar bila berdepan dengan perubahan.

Vokal emas itu sepatutnya sudah menjadi taruhan utama beliau bagi melangkah lebih jauh dan menjadi pendinding kukuh untuk beliau dan pasukannya meneroka empayar baru.

Vokal itu tidak akan berubah (sekiranya dijaga dengan baik), namun faktor yang memerangkap Siti untuk terus selesa di zon selesa boleh diubah jika ada kemahuan.

Tidak sesekali saya menafikan keupayaan barisan pemuzik yang menjadi tulang belakang Siti, malah sentuhan kreatif pereka busananya malam itu sememangnya individu-individu hebat di bidang masing-masing.

Pengurusan Siti Nurhaliza Productions harus ada keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru digabung pengalaman orang lama dan resah gelora semangat generasi baru yang pasti mencantikkan lagi lakaran strok baru di kertas lakaran dalam aspek audio visual dan reka kreatif.

Telah tiba masanya untuk mereka di sekeliling Siti untuk keluar dari zon selesa itu.

Keputusan yang bakal dibuat menuntut keberanian untuk berdepan dengan segala macam risiko.

Bohong kalau saya katakan keputusan itu boleh dibuat sekelip mata. Sahabat saya sendiri perlukan 11 tahun untuk berubah angin, saya sendiri ambil masa 21 tahun.

Tidak namanya perubahan jika tanpa risiko. Jika terbuka menerima pandangan, saling bertukar sisi pendapat, tidak mustahil risiko itu akhirnya menjadi untung.

Jika keputusan SPM dijadikan perbandingan, inilah keputusannya.

Vokal - A1

Interaksi - A2

Muzik - C3

Tatabunyi - A2

Tatacahaya - C4

Idea & Pelaksanaan Idea - C4

Kostum & Solekan - C3

Koreografi - C3

Pemasaran Konsert - A1

Untuk mendapat semua A1 atau melangkah keluar dari zon selesa memerlukan pengorbanan masa, usaha dan wang ringgit.

Bukannya mereka yang menjadi tulang belakang Siti sekarang tidak bagus kualiti kerja mereka.

Sebaiknya pengalaman baru itu digalas oleh nadi baru untuk mengangkat aset dan bakat luarbiasa penyanyi itu ke tahap yang lebih tinggi lagi.



* Muzaffar Mustapa merupakan bekas wartawan Astro AWANI

*** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.