Skip to main content

Malaysia

Situasi Selatan Thailand: Kawalan sempadan Malaysia-Thailand dipertingkat - Menteri Pertahanan

KOTA TINGGI, 13 Jun -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada pemberita selepas hadir Program Jiwa Murni (PJM) MADANI KEMENTAH di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong hari ini._BERNAMA
Mohamed Khaled berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara, selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada merebak ke kawasan sempadan Malaysia. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

BUKIT KAYU HITAM: Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand akan terus dipertingkat, susulan perkembangan dan insiden yang berlaku di Selatan Thailand, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara, selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada merebak ke kawasan sempadan Malaysia.

“Bukan sahaja terhadap kegiatan-kegiatan biasa seperti jenayah dan penyeludupan, tetapi juga memandangkan kepada insiden dan apa yang sekarang ini berlaku di Selatan Thailand.

“Jadi kita nak pastikan supaya negara kita ini berada dalam keadaan yang terus selamat dan dapat menghindar perkara-perkara yang mungkin tidak diingini,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS), Kem Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata 5 RS yang diwujudkan khusus bagi melaksanakan tanggungjawab menjaga sempadan negara, memainkan peranan penting dalam memastikan kedaulatan Malaysia, khususnya di sempadan Malaysia-Thailand, sentiasa terpelihara.

Beliau berkata kawalan sempadan dilaksanakan secara berterusan, 24 jam sehari sepanjang tahun, menerusi rondaan dan operasi yang turut dijalankan bersama dengan agensi keselamatan lain.

Mengenai kekuatan 5 RS, beliau berkata jumlah anggota di kem berkenaan ketika ini adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan, mengambil kira operasi kawalan sempadan dari Perlis hingga Kelantan turut melibatkan beberapa kem Tentera Darat.

Mohamed Khaled berkata operasi kawalan sempadan dilaksanakan secara bergilir-gilir oleh anggota dari beberapa kem, termasuk di Gerik, Perak dan Kelantan, bagi memastikan keupayaan serta kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tinggi.

Beliau berkata pendekatan penugasan secara bergilir itu juga penting, bagi memastikan anggota daripada pelbagai formasi dan kem Tentera Darat mempunyai pengalaman serta kompetensi dalam melaksanakan operasi kawalan sempadan.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan menyediakan satu Nota Kabinet, bagi menyegerakan peruntukan untuk pembangunan kem tersebut.

Beliau berkata antara perkara yang akan dimasukkan dalam Nota Kabinet itu ialah pembangunan kem secara menyeluruh serta pembinaan 205 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

“Untuk RKAT, kita telah pun merancang dan kita telah pun kemukakan kepada pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan kita minta kepada kerajaan, untuk menyegerakan kelulusan supaya anggota-anggota yang telah berumah tangga dapat tinggal dalam satu kawasan,” katanya.

Pada lawatan kerja itu, Mohamed Khaled turut diberikan taklimat mengenai pembangunan kem serta operasi dan keselamatan sempadan, selain peranan penting 5 RS dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan di kawasan sempadan negara, sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Beliau kemudian meninjau keadaan pembinaan 10 blok penginapan baharu di kem berkenaan, yang mula dilaksanakan pada 20 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 13 Feb lepas, dengan jumlah kos keseluruhan RM44.87 juta.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement