Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa akan bertemu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi mendapatkan laporan terperinci berhubung isu sekatan oleh Orang Asli dan pekerja syarikat yang mengusahakan ladang durian di Gua Musang, Kelantan.

Katanya maklumat yang jelas diperlukan sebelum sebarang keputusan berhubung masalah berkenaan diambil.

"Kita perlu tahu apa yang menjadi punca perselisihan ini dan berusaha menyelesaikan isu tersebut secara holistik," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Isu sekatan itu timbul pada Februari lalu sebagai bantahan terhadap aktiviti penerokaan hutan serta tanah adat Orang Asli bagi tujuan pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian 'Musang King' di kawasan itu.

Sivarasa mengulas laporan media berhubung tindakan pekerja syarikat ladang durian membuat sekatan balas kepada penduduk Orang Asli berhampiran Pos Tohoi bagi menyekat kebebasan mereka, dua hari lalu.

Ini susulan tindakan 30 penduduk Orang Asli di Kampung Kaleg melakukan sekatan termasuk berbaring di atas jalan bagi menghalang pekerja syarikat yang mengusahakan kebun durian 'Musang King' daripada memasuki kawasan itu.

Sivarasa berkata isu sekatan berkenaan turut memerlukan kerjasama kerajaan negeri selain agensi keselamatan berikutan kemungkinan wujudnya pergaduhan fizikal di kawasan sekatan.

Terdahulu, Sivarasa menerima satu memorandum tuntutan janji manifesto kerajaan daripada Presiden Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS) Yusri Ahon yang antaranya berkaitan isu tanah adat, pendidikan dan pemuliharaan kebudayaan serta warisan Orang Asli.

-- BERNAMA