KLANG: Selepas 82 tahun beroperasi, SJK (C) Lee Min kini melangkah ke fasa baharu apabila kampus baharunya di Bandar Bestari, di sini, mula dibina bagi menangani cabaran banjir dan persekitaran sekolah sedia ada.
Majlis pecah tanah kampus baharu itu diadakan pada 15 Ogos lalu dengan lebih 500 tetamu hadir menyaksikan detik bersejarah bagi sekolah yang ditubuhkan pada 1944 itu.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan wakil Menteri Besar Selangor, Datuk Ng Suee Lim serta Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee, wakil Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Samuel Lee Thai Hung, serta Penolong Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Ts. Dr. Mohd Faizal, Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Azmuddin Muhamad dan Penolong Pengarah Sekolah Cina Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Inspektor Ng Kok Soon, turut hadir menyaksikan perkembangan projek berkenaan.
Kampus baharu itu dirancang mempunyai 26 bilik darjah dengan kapasiti sehingga 1,080 murid dan disasarkan mula beroperasi pada separuh kedua 2028 sekiranya pembinaan berjalan mengikut jadual serta memperoleh Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).
Perpindahan itu penting bagi SJK (C) Lee Min yang sebelum ini berdepan masalah banjir berulang di lokasi asalnya di Kampung Teluk Gong, selain keadaan persekitaran yang semakin sesak dengan aktiviti perindustrian.
Cabaran tersebut turut memberi kesan kepada sesi persekolahan apabila banjir memerlukan guru dan ibu bapa membantu membawa murid merentasi kawasan yang dinaiki air, malah sesi pembelajaran terpaksa dijalankan secara dalam talian ketika keadaan tidak mengizinkan.
Namun, pembinaan kampus baharu masih berdepan cabaran kewangan apabila sekolah perlu mencapai sasaran RM30 juta bagi menampung keseluruhan kos pembinaan.
Setakat ini, sebanyak RM13.5 juta telah berjaya dikumpulkan melalui lebih 200 usaha kutipan dana dan sumbangan sejak Mei 2025, namun masih terdapat kekurangan sebanyak RM16.5 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SJK (C) Lee Min, Datuk Seri Jason Lee Pei Nam, berharap sokongan daripada penderma, sektor korporat serta semua pihak yang prihatin terhadap pendidikan dapat diteruskan bagi memastikan impian perpindahan sekolah itu direalisasikan.
Beliau turut berharap pihak pemaju dapat memenuhi komitmen berkaitan pembangunan infrastruktur jalan di sekitar kampus baharu dengan sokongan kerajaan negeri dan wakil rakyat bagi memastikan persekitaran sekolah lebih selamat serta aliran trafik lebih lancar apabila kampus itu siap kelak.
Bagi sebuah sekolah yang telah melalui lebih lapan dekad sejarah, kampus baharu itu bukan sekadar bangunan baharu, tetapi diharap menjadi ruang yang lebih selamat dan kondusif untuk generasi murid SJK (C) Lee Min pada masa hadapan.