MALAYSIA
SK Putrajaya Presint 11(1) pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

Fadhlina hadir ketika pengumuman tersebut dibuat menerusi siaran langsung pada Selasa. - Foto Facebook/Kementerian Pendidikan Malaysia
PUTRAJAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat oleh T4 Education, sekali gus sekali lagi mengharumkan Malaysia di pentas pendidikan global.
Kementerian Pendidikan memaklumkan pengumuman itu dibuat menerusi siaran langsung pada Selasa, yang disaksikan pada perhimpunan khas anjuran bersama kementerian dan Yayasan Hasanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut hadir menyaksikan majlis pengumuman itu.
"Diasaskan oleh T4 Education, Anugerah Sekolah Terbaik Dunia merupakan anugerah pendidikan paling berprestij dunia, mengiktiraf institusi yang memberi inspirasi kepada perubahan positif menerusi amalan inovasi yang boleh dicontohi sekolah lain di seluruh dunia."SK Putrajaya Presint 11(1) dinamakan sebagai pemenang dan menerima AS$50,000 (RM235,000)," kata Fadhlina pada majlis pengumuman tersebut.
T4 Education merupakan badan pendidikan global berpangkalan di UK yang menyediakan platform untuk sekolah berkongsi kejayaan dan inovasi mereka dengan misi meraikan sekolah yang mendorong perubahan, menunjukkan amalan terbaik dan memberi inspirasi kepada sistem pendidikan di seluruh dunia untuk mencontohi model tersebut.
Sejak 2022, T4 Education telah menonjolkan sekolah yang membawa perubahan besar kepada komuniti dalam bidang seperti pendidikan, kesejahteraan pelajar, mengatasi cabaran dan tindakan berkaitan alam sekitar.
Kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) berdasarkan inisiatif pembangunan aplikasi mudah alih dikenali sebagai HELPIE yang dilancarkan pada 2023 untuk meningkatkan kesedaran dan memberi sokongan kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah.
Digabungkan dengan kempen rakan sebaya bilik darjah, inisiatif itu memberi manfaat kepada lebih 1,000 murid.
Sementara itu, Fadhlina berkata Malaysia memiliki sejarah membanggakan dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, apabila pada 2022 apabila SK Kempadang, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa, Selangor disenarai pendek bagi sekolah terbaik untuk pendekatan inovasi dihasilkan mereka.
"Tahun ini, SK Putrajaya Presint 11(1) meneruskan legasi ini dengan berdiri megah dalam kalangan 10 sekolah terbaik dunia," katanya.
Fadhlina berkata pengiktirafan itu bukan sahaja mengangkat kehadiran Malaysia di pentas pendidikan global, tetapi juga menunjukkan bagaimana sekolah boleh menjadi perintis kepada penyelesaian dalam cabaran yang mendesak seperti kesihatan mental generasi muda.
Sebagai pemenang, tiga wakil sekolah itu akan menghadiri Persidangan Sekolah Dunia 2025 di di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 13 hingga 20 Nov bertemakan "Kepimpinan untuk Dunia Lebih Baik" yang menghimpunkan pihak sekolah, pemimpin pendidikan, inovator dan pembuat dasar dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami