MALAYSIA
Wang tunai milik Ismail Sabri lebih RM169 juta disita SPRM, secara rasmi jadi harta kerajaan

Timbalan Pendakwa Raya SPRM memaklumkan bahawa tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Wang tunai lebih RM169 juta milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini secara rasmi menjadi harta kerajaan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen meluluskan pelucuthakan wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada Kerajaan Malaysia selepas tiada pihak ketiga membuat tuntutan.
- Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya tidak membantah permohonan SPRM, malah menghantar surat menyatakan tidak akan mencabar keputusan tersebut.
- Wang tunai pelbagai mata wang asing dan jongkong emas disita SPRM berkait siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ismail Sabri dan pegawai kanannya.
"Mahkamah mendapati tiada sebarang tuntutan dibuat oleh pihak ketiga terhadap harta-harta ini. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon untuk harta-harta yang disenaraikan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009," katanya semasa prosiding sebutan kes itu.
Warta pihak ketiga merujuk kepada proses mahkamah mewartakan notis memaklumkan kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa.
Pada prosiding hari ini, Mahadi berkata semasa sebutan kes sebelum ini iaitu 8 Sept lepas, mahkamah telah merekodkan bahawa kedua-dua responden tidak berhasrat untuk mencabar permohonan SPRM bagi melucut hak wang itu kepada Kerajaan Malaysia
"Mahkamah telah memberi kebenaran untuk menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuan pihak ketiga dan warta ini telah disiarkan pada 22 Sept lepas dan difailkan secara e-kehakiman.
"Oleh itu, kami memohon supaya harta-harta yang disenaraikan dalam notis permohonan ini, yang bernilai lebih RM169 juta, dilucut hak kepada kerajaan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009," katanya pada prosiding itu yang turut dihadiri peguam K.Ragunath serta Joshua Tay mewakili Ismail Sabri dan Mohammad Anuar.
Sebelum ini, Ismail Sabri dan Mohammad Anuar melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lepas kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian untuk tidak mencabar permohonan lucut hak itu.
Pada 7 Julai lepas, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Jumlah itu meliputi RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil untuk dirakam percakapan berkaitan pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Rampasan itu dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan 'rumah selamat' hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami