KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan skandal pembelian kapal tempur pesisir (LCS), kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Steven Sim.

Dalam satu kenyataan, Steven berkata, Dewan Rakyat perlu membahaskan laporan yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung projek berkenaan.

Beliau juga berpendapat, kegagalan penghantaran kapal berkenaan adalah antara perkara yang perlu dibahaskan dalam sidang khas berkenaan.

“Transparency International Malaysia (TI-M) menyamakan skandal LCS seperti skandal 1MDB dan berkata bahawa kerajaan Malaysia telah mempunyai reputasi yang buruk dalam menyelewengkan wang pembayar cukai,” kata Steven dalam kenyataan  yang dikeluarkan.

Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan pada ketika itu merupakan antara yang dikaitkan dengan isu tersebut.

Namun, Ahmad Zahid berkata, adalah tidak wajar untuk menyandarkan kegagalan perolehan LCS kepadanya kerana mendakwa beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.

"Saya menyeru kepada Perdana Menteri untuk tidak melindungi rakan-rakan dalam parti beliau dan memikirkan kepentingan negara dengan memanggil satu Sidang Khas Parlimen untuk membahaskan skandal LCS ini secara telus dan terbuka," kata Steven.

Isu pembelian LCS kembali menjadi pendebatan hangat selepas PAC melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh pada minggu lepas berkata, Boustead Naval Shipyard (BNS) tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.

Pembelian enam kapal LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membabitkan kontrak bernilai RM9 bilion yang telah bermula sejak 2011.

Bagaimanapun, kapal berkenaan tidak disiapkan sehingga kini walaupun kerajaan telah membayar sebanyak RM6 bilion.

Kapal pertama sepatutnya diperoleh pada 2019, namun kini dijangka hanya akan diterima menjelang 2024.

Isu lain yang ditimbulkan sebelum ini termasuk keputusan Kementerian Pertahanan memilih reka bentuk berbeza bagi kapal tersebut yang bertentangan dengan hasrat TLDM.