MALAYSIA
Skandal Lebuh Raya MEX II: Abu Sahid, Wee Leong berdepan 19 pertuduhan libat lebih RM700 juta

Abu Sahid ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan seorang bekas pengarah syarikat pembinaan hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 19 pertuduhan melibatkan wang berjumlah RM754.6 juta di Mahkamah Sesyen di sini.
Ringkasan AI
- Abu Sahid dan Yap mengaku tidak bersalah atas 19 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan dana, tuntutan palsu dan pengubahan wang haram berjumlah RM754.6 juta berkaitan projek Lebuhraya MEX II, termasuk pecah amanah RM145.5 juta dan tuntutan palsu RM220.7 juta.
- Yap turut berdepan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM388.3 juta melalui pemindahan dana haram ke akaun syarikat dan peribadi antara Jun 2017 hingga Ogos 2018.
- Mahkamah membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes sebelum ini, dengan jaminan RM1.5 juta bagi Abu Sahid dan RM1 juta bagi Yap serta penyerahan pasport kepada mahkamah.
"Abu Sahid didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM145.5 juta yang telah diamanahkan kepadanya sebagai Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, yang dibayar kepada sebuah syarikat pembinaan menerusi pindahan akaun antara 12 Jan hingga 13 Jun 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Yap pula didakwa melakukan sembilan tuntutan palsu berjumlah RM220.7 juta di sebuah cawangan bank dalam daerah Petaling antara 9 Nov 2017 hingga 26 Jun 2018 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mengikut pertuduhan, Yap didakwa mengemukakan dokumen iaitu progress claim mengandungi butir matan palsu berjumlah antara RM16 juta hingga RM28 juta membabitkan kerja-kerja prapembinaan yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat pembinaan sedangkan ia tidak pernah dilakukan.
Beliau turut berdepan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM388.3 juta dengan memindahkan hasil aktiviti haram antara RM18 juta hingga RM75 juta menggunakan akaun dan 26 cek daripada akaun bank syarikat pembinaan kepada beberapa akaun bank syarikat lain termasuk akaun peribadinya.
Yap didakwa melakukan perbuatan itu di cawangan bank di Country Heights, Kajang antara 21 Jun 2017 hingga 3 Ogos 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Ahmad Akram Gharib memohon agar kesemua pertuduhan terhadap Abu Sahid dan Yap dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes sebelum ini yang akan disebut semula pada 3 Nov depan.
Beliau juga memohon jaminan mengikut jumlah yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM1.5 juta untuk Abu Sahid dan RM1 juta untuk Yap, dengan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Abu Sahid, dan Abdul Hakeem Aiman, yang mewakili Yap, tidak membantah.
Pada 8 Sept lepas, Abu Sahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM100 juta manakala Yap minta dibicarakan bagi 17 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan nilai RM314.4 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami