PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di peringkat akhir melaksanakan kajian berkaitan skim pencen penjawat awam sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan diambil berhubung skim berkenaan, termasuk untuk menggantikannya dengan kaedah lain.

"Apa yang berlaku oleh kerana tahun 2024, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diberikan peruntukan untuk melantik penjawat awam baharu, jadi kalau JPA tak keluarkan arahan, dikhuatiri masih kekal melantik secara tetap dan berpencen, ia akan 'defeat the purpose' (tak mencapai maksud) apa yang nak kita kaji.

"Sebab itu JPA arah melantik secara kontrak dahulu sehingga tempoh mungkin setahun, setahun setengah, sebab JPA di peringkat akhir kajian dan akhirnya kerajaan akan meneliti atau membuat keputusan berdasarkan apa yang diputuskan," katanya pada majlis amanat 2024 pada Selasa.

Sebelum ini dilaporkan, kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Pada 20 Jan lepas, JPA berkata Laporan Interim 1 Kajian Semula SSPA telah diserahkan kepada perdana menteri pada 19 Jan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan penuh SSPA akan bermula pada 2025, susulan kajian menyeluruh.