KUALA LUMPUR: Skim sewa untuk dimiliki (RTO) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 melibatkan unit perumahan PR1MA di seluruh negara dijangka dilancarkan Jun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata kementerian kini sedang berbincang dengan institusi perbankan untuk memperhalusi kaedah serta mekanisme skim itu.

"Sekarang (RTO) belum dilaksanakan lagi sebab kami tengah tunggu (hasil perbincangan) mekanisme itu. Untuk rumah PR1MA baharu yang sudah lulus, kalau sudah siap sahaja skim itu nanti kita boleh tawarkan, jadi saya sasarkan mungkin boleh dilaksanakan menjelang Jun nanti," katanya selepas siri jelajah Program Malaysia Prihatin Bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini hari ini.

November lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan kerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan unit perumahan RTO hingga 2022, melibatkan 5,000 unit perumahan PR1MA di seluruh negara bernilai lebih RM1 bilion dan dikhaskan kepada pembeli rumah pertama.

Program Malaysia Prihatin bersempena siri jelajah hari ini adalah sebahagian inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat tentang pengurusan pandemik COVID-19.

Bagi siri yang pertama, kementerian itu melalui Jabatan Landskap Negara mengambil langkah proaktif melancarkan 'Norma Baharu Berekreasi' dalam usaha menekankan kepentingan norma baharu ketika berekreasi kepada masyarakat.

Selain itu, kementerian turut melaksanakan beberapa siri program di tiga lokasi di kawasan Parlimen Ampang bagi mendekati dan menyampaikan mesej kepada komuniti bandar. Siri jelajah itu akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Selangor.

-- BERNAMA