Tentera Syria isytihar barat Euphrates sebagai 'zon ketenteraan tertutup' susulan serangan

Artileri tentera Syria ditempatkan di sebatang jalan berhampiran kawasan barisan hadapan, susulan pengunduran SDF, di Maskanah, dekat Aleppo, Syria, 17 Jan. REUTERS
ISTANBUL: Tentera Syria pada Sabtu mengumumkan bahawa kawasan di barat Sungai Euphrates diisytiharkan sebagai "zon ketenteraan tertutup" susulan serangan kumpulan YPG/SDF terhadap pasukannya, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik Agensi Berita Arab Syria (SANA).
"Kami mengumumkan kawasan barat Euphrates sebagai zon ketenteraan tertutup selepas pengganas PKK menyasarkan pasukan tentera semasa pelaksanaan perjanjian," menurut Markas Operasi tentera kepada SANA.
Markas Operasi itu turut menggesa orang awam untuk menjauhkan diri dengan segera dari kedudukan kumpulan penentang di kawasan berkenaan.
"Kami menyeru keluarga awam kami di kawasan barat Euphrates supaya menjauhi lokasi pengganas PKK serta saki-baki rejim terdahulu yang merupakan sekutu SDF," katanya.
Markas berkenaan juga mendedahkan bahawa pengganas PKK sedang menanam periuk api di Jambatan Shuayb al-Dhikr di kawasan luar bandar barat Raqqa bagi menghalang pelaksanaan perjanjian itu.
Pihak tentera memberi amaran bahawa tindakan meletupkan jambatan itu akan mengganggu perjanjian dan bakal membawa kesan yang sangat serius.
Terdahulu, Tentera Syria menyatakan kumpulan YPG/SDF telah menyerang satu daripada rondaan berhampiran Bandar Maskanah di timur Aleppo, yang mengorbankan dua tentera manakala beberapa yang lain cedera.
Pada Mac 2025, Kepresidenan Syria mengumumkan perjanjian untuk menyepadukan YPG/SDF ke dalam institusi negara, sekali gus menegaskan perpaduan wilayah negara itu dan menolak sebarang cubaan untuk memecahbelahkannya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


