Skip to main content

Malaysia

SKM serah bot CSR kepada Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tiang Berhad

TB_NORIHAN JALAL SUMBANGAN CSR ORANG ASLI KAMPUNG SUNGAI TIANG_SKM
Ahmad Norihan menyampaikan replika sumbangan CSR kepada Pengerusi Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tiang Berhad, Hadi Mes. - Gambar SKM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperkukuh komitmen dalam memperkasa sosioekonomi komuniti Orang Asli melalui gerakan koperasi menerusi Program CSR Pemerkasaan Komuniti Kampung Orang Asli melalui penyerahan bot kepada Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tiang Berhad.

Dalam satu kenyataan, SKM menjelaskan, penyerahan tersebut bersempena Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI) Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026.

“Program yang berlangsung di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik, Perak itu merupakan antara usaha SKM dalam memperluas peluang ekonomi, meningkatkan mobiliti serta memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat melalui pendekatan berkoperasi,” jelas kenyataan itu.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor Datuk Salbiah Mohamed. 

Jelas kenyataan itu lagi, penyerahan bot CSR kepada Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tiang Berhad sebagai sokongan kepada keperluan komuniti setempat, khususnya dalam meningkatkan akses dan mobiliti penduduk yang bergantung kepada laluan air.

Tambah kenyataan itu, kemudahan tersebut bukan sahaja dapat membantu urusan pergerakan komuniti, malah berpotensi dimanfaatkan bagi menyokong aktiviti ekonomi koperasi dan masyarakat setempat.

“Penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan dan persekitaran komuniti merupakan antara pendekatan yang dapat membantu koperasi mengoptimumkan potensi ekonomi tempatan serta meningkatkan manfaat kepada anggotanya.

“Pelaksanaan PASTI ASLI Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026 mencerminkan usaha berterusan untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai platform pemerkasaan sosioekonomi komuniti Orang Asli secara lebih tersusun, inklusif dan mampan,” jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan, melalui pendekatan berkoperasi, komuniti bukan sahaja berpeluang menjana pendapatan dan mengembangkan aktiviti ekonomi, malah dapat membangunkan potensi serta sumber setempat secara kolektif untuk manfaat bersama.

Selain itu, SKM menjelaskan, koperasi juga berperanan sebagai wadah yang menyatukan komuniti melalui penyertaan anggota dalam aktiviti ekonomi, pembangunan keusahawanan serta pelaksanaan inisiatif yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Kenyataan itu menjelaskan, SKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Perak serta agensi dan pihak berkaitan bagi memastikan gerakan koperasi terus berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli.

“Inisiatif seperti PASTI ASLI dan pelaksanaan program CSR berasaskan keperluan komuniti diharap dapat menghasilkan impak yang berterusan, khususnya dalam memperluas peluang ekonomi, meningkatkan kesejahteraan serta memperkukuh keupayaan koperasi sebagai institusi pembangunan komuniti.

“Usaha ini selaras dengan aspirasi SKM untuk memastikan manfaat pembangunan gerakan koperasi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan inklusif oleh masyarakat di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.

Must Watch Video

Advertisement