SKMM sekat laman web Sugarbook

Astro Awani
Februari 15, 2021 11:09 MYT
Kementerian Pengajian Tinggi telah mengadakan perbincangan dengan SKMM berkaitan isu yang telah menjejaskan nama baik universiti dan pelajar baru-baru ini. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah menyekat laman sesawang Sugarbook.
Berdasarkan tinjauan pada Isnin, Astro AWANI mendapati laman web tersebut sudah tidak lagi boleh diakses.
"Akses kepada laman sesawang ini dihalang di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana melanggar undang-undang Malaysia di bawah:
“Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” antara makluman yang tertera dalam laman web yang sudah disekat itu.
Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengadakan perbincangan dengan SKMM berkaitan isu yang telah menjejaskan nama baik universiti dan pelajar baru-baru ini.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju beberapa tindakan yang boleh diambil bagi menangani isu ini.
“KPT dan SKMM juga sepakat untuk terus menjalinkan kerjasama pada masa akan datang dalam memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pelajar berkenaan isu-isu sosial dan keselamatan siber,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
BACA: SKMM akan siasat aplikasi 'Sugarbook'
Astro AWANI pada Isnin melaporkan SKMM akan memantau dan menyiasat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) aplikasi mencari teman ‘Sugarbook’ dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.
Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM.
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata, suruhanjaya itu sedia maklum dengan gimik pemasaran laman 'Sugarbook' yang baru-baru ini mendakwa ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai 'sugar baby' di laman aplikasi tersebut.
#sugarbook #Sugar Daddy #SKMM #sekat #PDRM #Facebook #Astro Awani #polis #wanita #pelajar #keselamatan #menteri #undang-undang #Polis Diraja Malaysia