NATIONAL
Slim Memilih: Suram 60 tahun, impian Orang Asli Sungai Teras akhirnya termakbul

Ena (kiri) dan Rosliza (kanan) menzahirkan rasa syukur selepas menerima bekalan elektrik pada Ahad. - Foto Astro AWANI
Astro AWANI baru-baru ini menyiarkan keperitan yang dilalui oleh Orang Asli di Kampung Sungai Teras, di sini, apabila terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik sejak 60 tahun lalu.
Namun, 'detik suram' itu tidak perlu lagi dihadapi oleh kira-kira 250 penduduk kampung itu selepas impian untuk hidup dalam cahaya lampu, akhirnya termakbul.
Berbeza dengan ketika kehadiran kru Astro AWANI ke kampung itu sebelum ini, kali ini riak wajah penduduk Orang Asli, termasuk kanak-kanak, kelihatan lebih ceria.
Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan mereka selain rasa syukur kerana bekalan elektrik sudah mula disalurkan sejak Ahad lalu.
Menurut Rosliza Mak Nan, 28 tahun, sebelum ini penduduk berdepan kesulitan menguruskan anak-anak dan kesukaran dalam menyediakan keperluan asas mereka.
"Memang rasa susah sikit, anak-anak nak pergi ke sekolah waktu pagi tiada lampu, bersiap pun dalam gelap.
"Kadang-kadang nak kemas rumah pada waktu malam pun susah. Waktu pagi, nak buat teh untuk anak-anak ke sekolah pun susah dalam gelap.
"Ini kiranya (ada bekalan elektrik) saya bersyukur dan memang amat terharu dapat duduk dalam terang (cahaya lampu)," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
Bagi Zuhana Round, 35 tahun, dan Ena Yok Kaha, 43 tahun, bekalan elektrik disifatkan sebagai berita paling gembira selepas 20 tahun tinggal di kampung itu.
"Saya berterima kasih sebab selama ini kami duduk dalam gelap... susah (kehidupan dalam gelap) kami. Sekarang kami rasa gembira, terharu, dan sebak dalam hati.
"Kami bersyukur dan terima kasih atas bantuan Menteri (Pembangunan) Luar Bandar (Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad), membantu kami yang dalam kesusahan begini," kata Zuhana.

Zuhana berkata, bekalan elektrik disifatkan berita paling gembira buatnya - Gambar Astro AWANI
Sementara itu, Ena menambah: "Rasa gembira sebab dah terang, dulu tak macam ini, gelap... bangun pagi pun susah".
Tok Batin tak kisah rumah masih bergelap
Namun begitu, berbeza dengan rumah-rumah penduduk di situ yang kini sudah mempunyai bekalan elektrik, rumah Tok Batin Kuloh Bah Rinteh masih bergelap.

Kuloh Bah menunjukkan keadaan pendawaian elektrik di rumahnya - Gambar Astro AWANI

Rumah Tok Batin, Kuloh Bah antara 17 buah rumah tradisional yang masih belum menerima bekalan elektrik - Gambar Astro AWANI
"Saya balik, rumah saya gelap, tetapi saya tengok anak buah (penduduk kampung sudah ada bekalan elektrik), tidak mengapalah. Kesenangan bukan untuk saya tetapi untuk anak buah saya.
"Walaupun (rumah) saya masih gelap, mungkin masa akan datang akan cerah," katanya.
Jelasnya, sebanyak 17 buah rumah tradisional di kampung itu, termasuk rumahnya, masih belum mendapat bekalan elektrik kerana memerlukan pendawaian baharu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami