KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Persidangan Media Sarawak (SMEC) akan dijadikan acara tahunan bagi memastikan pengamal media di Bumi Kenyalang diberi pendedahan berterusan mengenai perkembangan teknologi terutama dalam dunia kewartawanan.

Beliau berkata pengamal media seharusnya menyesuaikan diri dengan proses migrasi teknologi masa kini.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata SMEC 2025 akan menyentuh elemen digital termasuk peralatan media berteknologi tinggi atau baharu seperti penganjuran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) yang diadakan di negeri itu.

"Sarawak selalu mengadakan IDECS... untuk SMEC berikutnya, saya cadangkan kepada Datuk Abdullah Saidol (Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak bagi Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) agar kami turut mempamerkan semua perkakasan yang digunakan oleh wartawan terutama yang terkini," katanya ketika berucap sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini.

SMEC 2024 bertema 'Evolusi Media dalam Era Digital' berlangsung selama dua hari bermula Ahad sempena sambutan HAWANA 2024 dan diadakan sebagai platform bagi membincangkan isu berkaitan dunia kewartawanan moden seperti kecerdasan buatan dengan penglibatan kira-kira 600 peserta tempatan dan luar negara.

Acara kemuncak HAWANA 2024 dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Ammar Douglas Uggah Embas serta Datuk Amar Dr Sim Kui Hian selain kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pengamal media tempatan dan antarabangsa.

Wakil persatuan, kelab wartawan tempatan dan wartawan dari 12 negara iaitu Brunei, Singapura, Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu selain menyertai pelbagai program yang disusun bagi meraikan sambutan julung kali yang diadakan di Sarawak.

Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 kepada dua penerima dan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA manakala Abang Johari menyampaikan Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak kepada tujuh individu.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia yang mengangkat tema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan' itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah agensi pelaksana HAWANA 2024.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

-- BERNAMA