KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, laporan itu dibuat oleh Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) awal pagi Selasa manakala laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyusul dalam masa terdekat.

"Satu laporan polis sudah dibuat oleh Armada Bersatu tengah malam semalam. Ada yang kata ini (dakwaan terima ugutan) cakap-cakap kosong dan fitnah. Tidak, kita ada fakta dan kes.

"Laporan susulan SPRM akan dibuat dan satu sidang media akan diadakan untuk menjelaskan mengenai laporan polis tersebut," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan asal Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) berkata, tiada sebarang aduan dibuat kepada polis mahupun SPRM berkenaan perkara itu.

"Hingga pagi tadi, tiada satu aduan polis mahupun SPRM dibuat terhadap dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa ahli Parlimen daripada PN menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

"Ugutan membabitkan tugasan polis. Umpan dan habuan termasuk dalam 'territory' (bidang kuasa) SPRM. Untuk menjawab pada pagi ini, saya meminta dua agensi itu memberi jawapan dan hingga saat ini, tiada satu pun laporan dibuat," katanya.

Sementara itu Saifuddin Nasution turut memberi jaminan bahawa polis akan segera melakukan siasatan sekiranya terdapat laporan atau dakwaan individu, manakala akan dianggap fitnah terhadap kerajaan sekiranya tidak wujud elemen berkenaan.

"Pihak agensi dan penguat kuasa dalam kerajaan sedia untuk bertindak secara profesional bagi menangani sebarang kemungkinan," tegasnya.

Sebelum ini tindakan empat ahli Parlimen dari Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dikaitkan dengan kemungkinan wujud ugutan dan pemberian habuan kepada mereka yang terlibat. - Sinar Harian