KUALA LUMPUR:Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan aktiviti atau pembukaan masjid bukan di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara tersebut sebaliknya terletak di bawah bidang kuasa sultan, raja dan pihak berkuasa agama Islam negeri.

“Saya terima banyak aduan, termasuk daripada penceramah yang menyalahkan MKN berkenaan SOP ketat aktiviti di masjid.

“Contoh, jika masjid dibuka untuk lima orang sahaja, satu pertiga atau satu perdua daripada kapasiti masjid, maka keputusan terbabit adalah di bawah perkenan sultan di negeri berkenaan.

“Kementerian berkaitan boleh mengusulkan cadangan melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia untuk penelitian Pihak Berkuasa Agama Negeri, namun keputusan akhir adalah sepenuhnya hak mutlak dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja di setiap negeri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau mengulas perkara berkenaan susulan menerima persoalan dan kiriman video yang mempertikai SOP berkait pembukaan masjid atau surau.

Tegasnya, tindakan pihak tertentu mempersoal SOP di masjid dan surau ibarat mempersoal keputusan sultan, selain dianggap sebagai kritikan dituju kepada pemerintah di setiap negeri.