Semua operator tadika dan taska serta ibu bapa di Sarawak digesa untuk melakukan perjumpaan bersama bagi menetapkan kesesuaian pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan jadual aktiviti di setiap tadika dan taska di negeri itu.

Demikian saranan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Ia susulan pembukaan semula operasi tadika dan taska bermula 1 Julai 2020 seperti yang diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin.

“Ini merupakan peranan pengusaha dan mesti ada taklimat kepada guru-guru, kepada pembantu guru terlebih dahulu tentang apa yang perlu dibuat di tadika tersebut sebelum, semasa dan selesai sesi persekolahan,” katanya.

BACA: Sarawak ikut kerajaan pusat, buka tabika mulai 1 Julai

Jelas Fatimah lagi, ibu bapa juga diberi kelonggaran untuk memilih beberapa jadual persekolahan sebagai alternatif.

“Kita telah memberi pilihan dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP), nanti dalam perjumpaan antara ibu bapa dengan pihak tadika, bolehlah mempertimbangkan beberapa cadangan antaranya mengadakan dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang.

“Kedua mungkin boleh mengadakan sesi persekolahan secara berselang seli, jadi antara mengadakan dua sesi dan kaedah memilih hadir ke sekolah secara berselang seli,” tambahnya.

Untuk rekod, terdapat 746 taska dan tadika swasta yang beroperasi di seluruh Sarawak dengan tenaga pengajar seramai 2,903 orang merangkumi lebih 32 ribu kanak-kanak.