PUTRAJAYA: Prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk sektor peruncitan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) telah ditambah baik serta dikemas kini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata SOP itu telah diselaras dengan SOP am yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan ia dipatuhi sepenuhnya oleh semua syarikat peruncitan, pemborongan dan pengedaran.

Penambahbaikan dan kemas kini itu dilakukan susulan pengumuman pelanjutan PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang bermula 19 Feb hingga 4 Mac, pertukaran status negeri lain daripada PKP kepada PKPB, dan Perlis satu-satunya negeri dalam negara yang berstatus PKPP untuk tempoh sama.

Mengulas SOP itu, Nanta berkata aktiviti makan di restoran kini dibenarkan berdasarkan saiz meja dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter di kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Beliau berkata aktiviti acu baju dan bilik acu baju bagi penjualan pakaian, fesyen dan aksesori adalah tidak dibenarkan manakala penggunaan sarung tangan pakai buang perlu disediakan di kawasan PKP.

Di kawasan PKPB dan PKPP pula, aktiviti acu baju dan bilik acu baju adalah dibenarkan manakala penggunaan sarung tangan pakai buang tidak perlu disediakan tetapi digalakkan.

Bagi aktiviti studio di kawasan PKP, ia terhad hanya untuk gambar kad pengenalan, pasport serta lesen dengan seorang pelanggan dan seorang jurugambar pada satu-satu masa.

Nanta berkata bagi kawasan PKPB dan PKPP pula, aktiviti studio dibenarkan dan tiada had pelanggan namun tertakluk kepada pelaksanaan penjarakan satu meter serta keluasan ruang.

"Bagi aktiviti cucian kenderaan di kawasan PKP, cucian melibatkan luar kenderaan dan secara pandu lalu sahaja manakala untuk kawasan PKPB dan PKPP, semua aktiviti cucian dibenarkan," katanya.

Beliau berkata untuk operasi kedai cermin mata dan barang optik, aktiviti rundingan secara bersemuka tidak dibenarkan dan hanya terhad untuk pembelian serta pembaikian sahaja di kawasan PKP manakala di kawasan PKPB dan PKPP, semua aktiviti termasuk rundingan secara bersemuka dibenarkan.

Bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi di kawasan PKP, penggunaan penguji serta aktiviti rundingan secara bersemuka tidak dibenarkan manakala di kawasan PKPB dan PKPP, penggunaan penguji dan aktiviti rundingan secara bersemuka dibenarkan.

Bagi kedai gunting rambut, kedai pendandan rambut dan salon kecantikan di kawasan PKP, hanya gunting rambut asas sahaja dibenarkan manakala untuk kawasan PKPB dan PKPP, semua aktiviti dibenarkan kecuali korek telinga, gunting bulu hidung, urut kepala, bahu serta badan di kedai gunting rambut.

"Aktiviti korek telinga, gunting bulu hidung, urut kepala, bahu dan badan di kedai gunting rambut, cuci muka dan rawatan muka, solekan bulu mata, solekan rambut, rawatan rambut, rawatan tangan dan rawatan kaki tidak dibenarkan di kawasan PKP," katanya.

Sehubungan itu, Nanta meminta kerjasama semua komuniti perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan pengguna yang masih berada di dalam kawasan PKP agar memastikan SOP Sektor Perdagangan Pengedaran dipatuhi sepenuhnya.

"Pematuhan ini penting untuk mempercepatkan pembendungan penularan COVID-19 sekali gus dapat menyegerakan pemulihan negeri-negeri tersebut kepada PKPB atau PKPP," katanya sambil mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil, termasuk kompaun dan penutupan premis perniagaan, jika mana-mana pihak gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Untuk maklumat lanjut, pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada [email protected].

-- BERNAMA