KINI dunia dikejutkan dengan COVID-19. Sehingga kini, di Malaysia sahaja jumlah pesakitnya hampir mencecah 800 orang. Bagi sesetengah negara seperti Thailand langkah yang diambil adalah menggantung kemudahan visa negara-negara yang menjadi punca wabak ini. Tujuannya adalah untuk membendung daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat. Ada baiknya, kita soroti langkah-langkah pencegahan yang pernah dilakukan oleh pihak kerajaan jika sesuatu wabak berlaku.

Kuarantin atau pengasingan pesakit dianggap langkah berkesan untuk membendung wabak ini terus menular dalam kalangan rakyat. Kuarantin berasal daripada perkataan Itali ‘quaranta’ yang bermaksud 40 hari tempoh pengasingan. Kaedah ini telah lama dipraktikkan iaitu sekitar abad ke14 tatkala The Blak Death atau Bubon mengancam Eropah. Pusat kuarantin yang pertama dikenali sebagai The Nazarethum ialah di Santa Maria, Nazareth, Venich pada tahun 1423.

Antara abad ke-14 hingga ke-19, banyak negara di dunia mengaplikasi kaedah kuarantin demi melindungi rakyat daripada jangkitan wabak penyakit berjangki, khususnya bubon, demam kuning dan kolera. Ketika musim wabak, antara cara kuarantin adalah mengenakan tempoh pengasingan bagi kapal, anak kapal, barangan, menunjukkan dokumen rasmi pelabuhan terakhir yang disinggah, membayar wang jaminan tidak meninggalkan pelabuhan sehingga diberi paratique (kebenaran), dan pakaian diwap atau dibakar. Sementara muatan kapal pula seperti ikan masin akan dibersihkan dengan air laut dan dibilas dengan cuka.

Di Naples sekitar tahun 1577 bukan sahaja diwajibkan pemeriksaan tahap kesihatan di setiap pintu kota, malah pengawal akan meronda di sekeliling kota sama ada berjalan kaki atau menunggang kuda bagi memastikan tiada pencerobohan. Pelancong juga diwajibkan mempunyai penyata kesihatan beserta cop mohor negara asal pelancong. Malahan hukuman berat dikenakan jika melanggar undang-undang tersebut. Sebagai contoh, Akta Kuarantin Inggeris 1710 memperuntukan kapal yang belayar tanpa lesen dirampas dan diserahkan kepada Queen manakala pemiliknya didakwa sebagai penjenayah. Pada tahun 1813, Antonio Bong ditembak mati di Malta atas kesalahan merahsiakan penyakit yang menjangkiti beliau. Bahkan Akta Kuarantin England 1825 mengenakan hukuman mati jika berhubungan dengan kapal yang dikuarantin.

Ketika pemeritahan Kerajaan Uthmaniyah, kaedah kuarantin juga pernah dikenakan kepada jemaah haji di Mina pada tahun 1885. Pada setiap hari melontar jamrah, pegawai perubatan akan menerima senarai kematian. Jika punca kematian disebabkan wabak penyakit berjangkit, pihak Istanbul akan mengibarkan bendera kuning di atas gunung sebagai isyarat serangan wabak. Namun, langkah ini kurang berkesan kerana ketika musim haji pada tahun 1893 dianggarkan 33,000 jemaah haji meninggal dunia akibat wabak kolera.

Akibat penularan wabak penyakit berjangkit yang dikaitkan dengan jemaah haji, Persidangan Kesihatan Antarabangsa Ke-7 di Venice pada tahun 1892 telah diadakan. 14 buah negara yang terlibat mengambil ketetapan mewajibkan sistem kuarantin ke atas kapal yang membawa jemaah haji. Mulai Januari 1896, peraturan kuarantin yang dibuat oleh Kerajaan Uthmaniyah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Undang-undang Kuarantin di Semenanjung Tanah Melayu

Peningkatan jumlah penduduk di Tanah Melayu khususnya di kawasan bandar seperti Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, dan Selangor pada penghujung abad ke-19 adalah faktor penularan wabak penyakit berjangkit. Kematian yang tinggi dalam kalangan penduduk Tanah Melayu pada setiap tahun mendorong pihak Britain menubuhkan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab memeriksa dan menyediakan laporan tahap kesihatan di Tanah Jajahan. Ekoran itu, Lembaga Kebersihan diwujudkan di kawasan penempatan penduduk yang bertanggungjawab terhadap pelupusan najis, sampah sarap, pembaikan longkang dan tandas awam, penyahjangkitan rumah penduduk serta penutupan telaga yang tidak digunakan. Bangunan yang dianggap membahayakan kesihatan awam dirobohkan di bawah Enakmen Kuarantin dan Pencegahan Penyakit 1903. Malahan Seksyen 3 enakmen ini mensyaratkan jika berlaku penularan wabak, tempat-tempat awam seperti restoran, panggung wayang, kedai-kedai menjual todi di estet dan dewan orang ramai mesti ditutup.

Selain itu, pada September 1868 telah wujud Ordinan Kuarantin yang mewajibkan semua kapal di pelabuhan Negeri-negeri Selat mewujudkan makanisme mengawal penularan penyakit berjangkit di atas kapal. Sebagai contoh, Jawatankuasa Pembentungan Singapura berhak membuat pemeriksaan kesihatan ke atas setiap kapal yang berlabuh di pelabuhan Singapura. Kapten kapal yang membenarkan pesakit turun dari kapal pula akan didenda. Sementara Enakmen Imigrasi Buruh India Selangor, 1884 (Selangor Indian Immigration Enacment, 1884) antaranya memperuntukan denda tidak melebihi 50 ringgit atau penjara tida melebihi tiga bulan jika gagal menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat kuarantin yang ditetapkan.

Di samping itu, kuarantin juga melibatkan buruh-buruh yang dibawa masuk ke Tanah Melayu sekitar tahun 1860-an. Sebagai contoh, melalui Sistem Kangani buruh-buruh ini terlebih dahulu akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Madras atau Negapatam, India sebelum dibawa ke Tanah Melayu. Sementara di Tanah Melayu pula, sebelum dihantar bekerja di estet akan ditempatkan selama tiga minggu di pusat kuarantin di Selangor atau Pulau Pinang. Bagi buruh-buruh dari China pula, akibat penularan wabak Bubon di Hong Kong dan beberapa pelabuhan di China pada tahun 1894 mendorong pihak British mengenakan syarat hanya kapal milik British sahaja dibenarkan membawa mereka masuk ke Tanah Melayu.

Bagi jemaah haji yang baru pulang dari Makkah pula, atas arahan Lembaga Kesihatan Pulau Pinang, mereka dikuarantin di Pulau Jerejak sebelum dibenarkan turun di pelabuhan Pulau Pinang. Biasanya mereka akan ditahan sehingga tiga jam dan pakaiannya akan dikukus terlebih dahulu. Jika terdapat kes jangkitan penyakit, ia akan ditahan lebih lama di pulau berkenaan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Pengalaman tradisi tangani wabak

Penduduk di Tanah Melayu juga mempunyai cara kuarantin tersendiri jika berlaku sesuatu wabak. Selain tradisi ‘jampi serapah’ dan ‘memagar’ rumah melalui upacara atau ritual tertentu mereka juga tidak ketinggalan mempraktikan ‘tindakan fizikal’ sebagai usaha menangani wabak berjangkit.

Berdasarkan rekod kesihatan, jika seseorang individu terkena wabak penyakit berjangkit, misalnya cacar seluruh kampung akan mengasingkan atau memulaukan individu terbabit. Hal ini pernah berlaku kepada seorang penduduk di Kuala Kangsar pada tahun 1891 dan Matang pada tahun 1897 setelah mereka pulang mengerjakan haji.

Namun, tindakan sesetengah penduduk keluar dari kampung masing-masing ke tempat lain ketika musim wabak menyebakan wabak terus tersebar luas. J. R. Logan ketika lawatannya ke Kedah pada tahun 1850 pernah terserempak dengan seorang pemerintah bersama pengiringnya di muara Sungai Kedah kerana lari dari wabak cacar yang melanda kawasannya. Begitulah juga Tok Gajah, pahlawan Pahang dipercayai pernah dijangkiti cacar hingga menyebabkan beliau meninggalkan pasukannya dan menyerahkan kuasa kepada Haji Muhammad Nor dan Peghulu Chenor. Beliau juga tidak mengadap Bendahara kerana bimbang virus tersebut tersebar.

Bahkan dicatatkan dalam The Journal of J.W.W. Birch First British Resident to Perak 1874-1875, Birch yang tiba di Perak pada tahun 1874 mendapati Sultan Abdullah telah mudik ke hulu meninggalkan Batak Rabit akibat serangan cacar. W.W. Skeat pula pernah mencatatkan pengalaman beliau menghadiri pengkebumian seorang lelaki Kelantan akibat cacar. Menurut Skeat, jenazahnya dikebumikan sebatu dari kawasan kampung, manakala baju dan rumahnya di bakar. Sementara di Jelebu, penduduk kampung dikecualikan daipada menghadiri upacara pengkebumian jika kematian disebabkan cacar.

Wabak kolera sangat ditakuti oleh masyarakat Tanah Melayu kerana mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi. Bagi masyarakat Cina, Sir Hugh Low semasa lawatannya ke Kuala Kurau, Perak mendapati mereka berlari-lari sambil membawa bendera untuk mententeramkan roh jahat yang disebabkan oleh kolera. Thomas Braddell ketika lawatannya ke Segamat, Johor pada awal tahun 1850-an mendapati penduduk membina kawasan kuarantin dengan cara meregang seutas tali di antara dua batang kayu beserta beserta beberapa helai daun (putchoh). Penduduk dilarang memasuki kawasan yang diregang itu berikutan serangan cacar di kawasan berhampiran. Di samping itu, terdapat juga pesakit yang dikuarantin di rumah sendiri dan dikawal oleh seorang pengawal di luar rumah agar pesakit tidak berkomunikasi dengan orang luar. Hal ini pernah dikenakan terhadap seorang wanita Melayu di Parit Buntar.

COVID-19 kerajaan perlu tegas

Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik. Mereka yang terlibat dalam perhimpunan besar-besaran seperti Jor Qudama dan Ulama di Masjid Sri Petaling baru-baru ini perlulah membuat pemeriksaan segera agar tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Hal ini juga tidak terkecuali mereka yang pernah menghadiri aktiviti di tempat terbuka dan berpotensi mempunyai wabak ini atau pulang dari luar negara.

Mengikut Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba, keadaan di Malaysia telah pun melepasi fasa onset dan fasa containment (pembendungan), dan kini sedang kini fasa late containment, manakala fasa terakhir adalah fasa mitigation. Tanpa kompromi kerajaan wajar menguatkuasakan undang-undang di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 334).

Bukan sahaja mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (Restricted Movement Order) untuk menyekat sebaran virus, malah Perintah Berkurung (Lockdown Order) juga wajar dikuatkuasakan demi keselamatan rakyat. Sementara rakyat pula wajib patuh setiap peraturan yang telah dikuatkuasakan dalam tempoh tersebut.

Dalam hal ini, rakyat perlu diberi maklumat perkembangan dari semasa ke semasa. Kita tidak mahu seperti yang berlaku di Itali iaitu rakyat mengambil kesempatan ‘menukar’ peraturan tersebut kepada hari cuti pelepasan biasa, iaitu pulang ke kampung, menghadiri kenduri kahwin, menziarahi rakan, bercuti di tempat peranginan atau menganjurkan acara yang melibatkan ramai orang.

Hargai pengorbanan petugas kesihatan

Pengorbanan para petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan perlu dihargai. Usaha Kerajaan Perak memberi insentif kepada petugas tersebut memang patut dipuji dan dicontohi oleh semua pihak. Sekalipun melibatkan sumbangan percuma makan tengah hari dan makan malam sahaja, ia tetap merupakan penghargaan kepada kelompok yang terdedah kepada risiko ini.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kos perbelanjaan untuk tujuan tersebut ialah RM420,000 di samping RM160,000 peruntukan khas bagi membeli peralatan tambahan Jabatan Kesihatan Negeri. Begitulah juga saranan Mufti Perlis agar petugas kesihatan yang beragama Islam diberikan zakat ‘fi sabilillah perlu dipertimbangkan sebagai penghargaan atas pengorbanan mereka.

Ingatlah pesan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas yang merayu agar rakyat mematuhi perintah tersebut. “Stay at home and protect yourself and your family”. Tujuannya adalah untuk putuskan rantaian jangkitan dalam tempoh 14 hari. Besabarlah dan janganlah mudah panik!


* Penulis merupakan pensyarah di UniKL RCMP Ipoh, Perak.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.