GEORGE TOWN: Dua pelayan katering yang menghadapi pertuduhan melindungi 24 migran penyeludupan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dibenar diikat jamin RM45,000 oleh Mahkamah Tinggi sini hari ini.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid dalam keputusannya berkata M.Vathanan, 44 dan T.Krishnaveni, 55, dibenarkan ikat jamin atas sebab pengecualian, iaitu seorang mempunyai masalah kesihatan dan seorang lagi ialah wanita.

Katanya selepas mendengar hujahan pihak pemohon, mahkamah mendapati Vathanan telah muntah darah beberapa kali ketika prosiding, dan kedua-dua mereka yang didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berada dalam pengecualian yang membolehkan mereka diikat jamin.

Seksyen 13(1) akta itu memperuntukkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada individu yang didakwa dengan kesalahan keselamatan, namun Seksyen 13(2) menyatakan pengecualian, bahawa jaminan mungkin boleh diberikan kepada tahanan yang berumur bawah 18 tahun, wanita, individu yang sakit atau uzur.

Mohd Radzi membenarkan Vathanan dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan dua penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat dua minggu.

Beliau turut membenarkan Krishnaveni dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat dua minggu sekali.

Terdahulu ketika hujahan, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam E.Gnasegaran dan Audrey Wee memberitahu Mahkamah bahawa masalah kesihatan tertuduh tidak dikendalikan oleh pihak penjara walaupun surat aduan telah diberikan.

Timbalan Pendakwa Raya S.Kirubini mewakili pihak pendakwaan.

Pada 8 Julai lepas, Vathanan dan Krishnaveni didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth terhadap pertuduhan melindungi 24 migran penyeludupan di rumah beralamat No. TBP 3999 Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi 13200, Kepala Batas pada 13 Jun, 2022.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Pemerdagangan orang dan penyeledupan migran (ATIPSOM) 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, dan boleh didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Memandangkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26H Kanun Keseksaan yang mengguna pakai prosedur SOSMA, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-kedua tertuduh.

-- BERNAMA