Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini bersetuju untuk membenarkan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Hasutan 1948 dibahaskan meskipun cuba disekat oleh wakil-wakil rakyat pembangkang.

Menurut beliau, perbahasan itu boleh diteruskan walaupun prosiding berhubung akta berkenaan masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan.

“Saya berpandangan bahawa rang undang-undang ini masih boleh dibahaskan.

“Walau bagaimanapun saya berjanji akan berada di sini untuk mendengar semua perbahasan berkaitan Akta Hasutan.

“Namun saya mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada hujah itu boleh dibahaskan atau tidak,” kata Pandikar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Isu tersebut timbul selepas Ahli Parlimen DAP-Puchong, Gobind Singh Deo mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(2) yang menyebut bahawa Dewan Rakyat tidak boleh menyebut apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah sekiranya Speaker yakin ia akan merosakkan kepentingan pihak yang berbicara.

Menurut beliau, perbahasan itu harus disekat kerana ia boleh mengakibatkan subjudis terhadap kes saman pensyarah Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom yang mencabar Akta Hasutan di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes itu, Dr Azmi mencabar akta tersebut kerana mendakwa ia bertentangan dengan kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya perbahasan itu harus ditangguh sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membentangkan RUU itu berkata, kerajaan yakin perbahasan bagi pindaan akta itu tidak subjudis dan bertegas mahu perbahasan itu diteruskan.

Sementara itu, Ahli Parlimen PKR-Gombak, Mohamed Azmin Ali hari ini mendakwa, sikap ‘terburu-buru’ kerajaan untuk membahaskan pindaan Akta Hasutan 1948 di Parlimen adalah disebabkan oleh desakan UMNO.

Beliau membuat tuduhan tersebut di Dewan Rakyat selepas Pandikar bersetuju supaya RUU tersebut dibahaskan.

“Saya lihat banyak rang undang-undang yang begitu penting terburu-buru dibawa sehingga pukul 2.30 pagi… seolah-olah apakah ini kerana arahan UMNO untuk membawa pindaan ini,” soal Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor itu.

Beliau mendakwa mempunyai maklumat terdapat 60 ketua bahagian UMNO yang telah bertemu dengan Peguam Negara bagi mendesak supaya pindaan ini dibawa ke Parlimen.

“Oleh itu kita minta rang undang-undang kepada pindaan ini mesti diteliti secara menyeluruh, (dan) bukan kerana asakan daripada beberapa tokoh UMNO,” tambahnya lagi.