Perkembangan politik di Pahang tiba-tiba menjadi panas apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan spekulasi tentang kemungkinan akan berlaku pengguguran empat Menteri Besar empat negeri - Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah - sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Meskipun belum ada kesahihan mengenainya, tindak-tanduk tokoh-tokoh yang dikaitkan, ucapan serta kenyataan mereka dan situasi politik di negeri berkenaan kini menjadi tumpuan pemerhati politik dan anggota parti berkenaan.

Isu pertukaran Menteri Besar adalah hak prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), dan ia adalah satu proses biasa yang dilakukan atas pelbagai sebab demi kebaikan parti dan manfaat seluruh rakyat.

BUKAN ISU BAHARU

Di Pahang sendiri, soal pertukaran Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga dikenali sebagai Abang Long, bukanlah satu perkara baharu kerana sebelum PRU ke-13 lagi, isu berkenaan telah beberapa kali dibangkitkan, termasuk ketika penggantian jawatan Menteri Besar Terengganu pada 2014 dan yang terakhir melibatkan Menteri Besar Kedah, dilakukan.

Adnan yang sememangnya terkenal dengan karektor tersendiri, seorang yang berterus terang dan tegas, namun prihatin menjadikan beliau mampu bertahan menjadi Menteri Besar Pahang lebih 17 tahun walaupun ramai rakan menteri besar seangkatan dengannya kini telah bersara dan duduk di rumah melayan cucu.

Sudah menjadi kelaziman setiap perubahan yang dicadangkan pasti ada kesannya. Dalam isu pertukaran ini, akar umbi yang selama ini menyokong kuat kepimpinan sedia ada, sudah mula bersuara menyatakan kurang senang dengan cadangan itu sehingga ada yang mengugut untuk keluar parti jika pertukaran itu dilakukan.

Di satu pihak lain pula, ada yang bersetuju dengan cakap-cakap politik berkenaan dan menganggap sudah tiba masa untuk Pahang memperoleh suntikan kepimpinan baharu.

Ada pendapat menyatakan Adnan, 66, mencatat rekod sebagai menteri besar paling lama ketika ini dan sudah tiba masa beliau digantikan dengan pemimpin muda bagi memberi nafas baharu kepimpinan UMNO dan kerajaan negeri Pahang.

Mungkin menyedari keadaan itu, Adnan ketika merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Ketereh, Kelantan baru-baru ini menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRU akan datang walaupun sebelum ini nadanya lebih kepada untuk mempertahankan jawatannya untuk sepenggal lagi.

Ini dibayangkan menerusi ayat yang selalu diungkapkannya: "Alangkan Tok Batin pun tidak mahu melepas jawatan, inikan pula saya yang memegang jawatan Menteri Besar."

Persoalannya kini, adakah masa ini sesuai untuk menggantikan nahkoda tatkala armada UMNO dan BN negeri bersiap sedia menghadapi 'peperangan besar' PRU ke-14? Apakah nahkoda baharu itu nanti mampu mengemudi bahtera tentera dan seterusnya mengekalkan kemenangan?

Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, Adnan perlu dikekalkan sehingga PRU ke-14 selesai memandangkan sebagai 'otai', Adnan cukup memahami sepak terajang dalam politik di Pahang.

"Kita tahu personaliti Adnan seorang yang agresif dan cukup berterus terang. Karektor itu menyebabkan beliau mampu bertahan lama dan di dalam parti sememangnya memerlukan orang yang sedemikian kerana jika terlalu berlembut dan bertimbang rasa, orang lain akan mudah mengambil kesempatan," kata Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu kepada Bernama.

Dalam konteks negeri Pahang dan di ketika UMNO dan BN memerlukan kesepaduan di kalangan anggotanya, beliau berkata sewajarnya penggantian itu dilakukan selepas PRU bagi mengelakkan 'cah keting', terutama jika calon bakal menteri besar yang dipilih nanti tidak mendapat sokongan penuh akar umbi.

"Lihat sahaja contoh yang berlaku di Kedah semasa PRU umum lepas apabila nama (Datuk Seri) Mukhriz Mahathir dikatakan bakal dipilih menjadi menteri besar, ia menyebabkan kewujudan beberapa kem ketika itu dan persengketaan sesama sendiri," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya jika penggantian itu masih tetap diteruskan, ia perlu dilakukan awal untuk memberi ruang kepada muka baharu nanti bersiapsiaga menyediakan jentera baharu bagi menghadapi PRU ke-14 nanti.

SUDAH TIBA MASA

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan Dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) Pof Madya Dr Ahmad Tarmizi Talib berkata banyak pihak yang berpendapat sudah tiba masanya untuk Pahang mempunyai seorang menteri besar baharu.

"Pahang memerlukan idea baharu untuk pembangunan negeri dan begitu jua UMNO serta BN sendiri. Untuk itu 'young blood leader' diperlukan. Jika diteruskan dengan pemimpin sedia ada, ia dikhuatiri menyebabkan pemimpin berkenaan kehabisan idea dan asyik melakukan perkara yang sama," katanya.

Beliau berkata dengan ura-ura yang menyatakan PRU ke-14 bakal diadakan lebih awal, adalah wajar penggantian itu dilakukan dalam tempoh terdekat untuk memberi ruang kepada bakal menteri besar baharu untuk mendapatkan sokongan dan sebarang perubahan saat akhir akan menyukarkan pengundi untuk membuat penilaian.

"Saya rasa calon baharu nanti akan mendapat lebih undi berasakan corak pengundian umum rakyat malaysia pada masa kini. Jika pucuk pimpinan sedia ada tidak berubah kemungkinan besar rakyat akan jemu, di kala UMNO sendiri mempotraitkan parti itu mengamalkan dasar meremajakan parti, maka perlukan ia menunjukkan ke arah itu," katanya.

Bagi Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata jika berita tentang penggantian empat menteri besar itu benar, tindakan berkenaan mungkin dilakukan kepimpinan tertinggi parti untuk mentransformasi UMNO menjelang PRU akan datang.

Tidak dinafikan ia bakal memberi kesan kepada perpaduan di kalangan anggota parti UMNO, beliau menegaskan situasi politik pada masa kini menyaksikan rakyat mahukan perubahan dan mereka yang telah lama memegang tampuk pemerintahan negeri perlu sedar hakikat ini.

"Pertukaran menteri besar sebelum PRU boleh menimbulkan risiko besar, namun saya lihat banyak keputusan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menongkah arus sebelum ini berjaya kerana beliau mempunyai kekuatan politik tersendiri.

"Saya juga menjangkakan Adnan seorang pemimpin yang berjiwa besar untuk menerima perkara ini. Walaupun mungkin digugurkan saya pasti beliau dapat menerima dengan hati terbuka dan akan terus membantu jentera parti untuk memenangi PRU akan datang," katanya. - BERNAMA