KUALA LUMPUR: Seramai 1,100 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) memperoleh semua A (A+, A dan A-) dalam peperiksaan itu berbanding 1,006 calon pada tahun sebelumnya.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilangan calon yang memperoleh semua A+ pula meningkat kepada 44 orang berbanding 34 pada 2022.

Menurut kenyataan itu, keputusan SPM 2023 MRSM turut mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.400 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut.

"Terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Bagi subjek Bahasa Inggeris, sebanyak 53 MRSM berjaya mencapai petunjuk prestasi utama Bahagian Pendidikan Menengah dengan lebih daripada 81 peratus pelajar memperoleh Gred Kepujian Tertinggi (Gred B+ dan ke atas).

"MRSM Kepala Batas, Gemencheh dan Pasir Salak mencatatkan keputusan 100 peratus A bagi subjek Matematik manakala sembilan MRSM mencatatkan keputusan 100 peratus A bagi subjek Pendidikan Moral selain Kota Putra mencatatkan keputusan 100 peratus A bagi subjek Bahasa Arab," katanya.

Kenyataan itu menyebut lapan MRSM terbaik ialah Tun Ghafar Baba, Taiping, Kepala Batas, Johor Bahru, Pasir Tumboh, Kuala Kubu Bharu, Alor Gajah dan Pengkalan Chepa dengan GPM kurang daripada 2.0.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan mengumumkan Gred Purata Nasional SPM 2023 ialah 4.60 berbanding 4.74 pada 2022 dengan 11,713 calon iaitu 3.1 peratus daripada keseluruhan 373,525 calon memperoleh keputusan semua A (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, meningkat 0.4 peratus berbanding 2022.

-- BERNAMA