Diaspora India berperanan dalam pembangunan Malaysia - PM Modi

Modi berpendapat golongan diaspora India memainkan peranan aktif dalam pembangunan India dan Malaysia. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan diaspora masyarakat India sebagai rakan kongsi penting dalam pembangunan kedua-dua negara.
Modi berpendapat golongan ini memainkan peranan aktif dalam pembangunan India dan Malaysia, sama ada sebagai pekerja warganegara India atau Malaysia.
“Sama ada anda dilahirkan di Kuala Lumpur atau Kolkata, India tetap di hati anda…anda telah membantu merealisasikan visi Malaysia yang makmur serta memperkukuh usaha ke arah itu,” katanya ketika menyampaikan ucap tama semasa majlis pertemuan bersama komuniti India di Pusat Konvensyen The Mines hari ini.
Sempena lawatan rasmi kali ini, Modi turut mengumumkan pembukaan sebuah konsulat baharu di Malaysia dan menyatakan dasar peluasan kelayakan Kad Warganegara India di Luar Negara (OCI).
Kad OCI merupakan kad khas yang memberi kemudahan imigresen, perjalanan dan hak tertentu di India kepada warga asing berketurunan India.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan penyediaan biasiswa khusus untuk masyarakat India di Malaysia iaitu Indian Scholarship Trust Fund, dan Basiswa Thiruvalluvar bagi membolehkan pelajar India di Malaysia melanjutkan pengajian di India.
Menurut Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, terdapat hampir 2.75 juta individu berketurunan India (PIOs) di negara ini, merangkumi sekitar 9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
“Kalian merupakan jambatan yang menghubungkan kedua-dua pihak ibarat roti canai dan malabar paratha,” katanya.
Menyentuh mengenai Perkongsian India-Malaysia untuk Transformasi Kolektif (IMPACT), Modi berpendapat ia telah memberi manfaat kepada cita-cita kedua-dua negara berserta warganya.
“Kejayaan India adalah kejayaan Malaysia dan kejayaan Asia,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


