KOTA BHARU: Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang masih dikuarantin akibat dijangkiti COVID-19 di Kelantan tidak akan menduduki peperiksaan hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, pelajar tersebut akan menduduki peperiksaan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Mereka akan dikumpulkan pada satu tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan itu selepas mereka habis tempoh kuarantin.

"Berapa bilangan pelajar dan sekolah yang tangguh, saya tidak mempunyai maklumat," katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.

Pada 15 Feb lalu, Izani memaklumkan, seramai 41 calon SPM di sebuah sekolah asrama di Machang disahkan positif COVID-19.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) selepas disahkan positif.

Mereka merupakan kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah - Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Khamis lalu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, calon yang disahkan positif COVID-19 atau kontak rapat kepada kes positif diberi kelonggaran tidak menduduki peperiksaan.

Katanya, setelah tempoh kuarantin berakhir, mereka boleh datang ke pusat peperiksaan untuk terus mengambil kertas yang masih berlangsung.

"Bagi kertas yang telah ketinggalan disebabkan dalam tempoh kuarantin, kementerian akan menjadualkan semula (peperiksaan) kertas tersebut," katanya.