Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau, Sabah akan dijalankan di lokasi lain sekiranya struktur bangunan sekolah berkenaan didapati tidak selamat diduduki.

Ia susulan kejadian pendaratan cemas sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi tadi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata ia bagi memastikan keselamatan pelajar sekolah berkenaan terjamin.

"Sekolah akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Kita akan mencari lokasi lain sekiranya bangunan itu tidak dapat digunakan.

"Sekiranya sekolah itu menjadi pusat peperiksaan dan kebiasaannya ia menjadi pusat peperiksaan, kita akan cari lokasi yang paling sesuai bagi menempatkan pelajar mengambil SPM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti India (MICC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden pendaratan cemas sebuah helikopter Nuri milik TUDM di sekolah itu yang turut menjejaskan Pusat Kemahiran Hidup sekolah dan menyebabkan beberapa pelajar cedera ringan.

FOTO ALBUM: Helikopter terhempas di Tawau

SPM dijadual bermula dari 7 Nov hingga 6 Dis ini.

Kamalanathan berkata SMK Balung ditutup mulai hari ini sehingga siasatan kes berkenaan selesai dijalankan.

Katanya ia bagi membolehkan kerja-kerja penyiasatan dilakukan oleh pihak berkenaan.

"Kawasan sekolah itu akan dikawal dan menjadi tempat larangan serta merta. Kita (Kementerian Pendidikan) akan ambil tindakan selanjutnya berdasarkan kepada nasihat yang kita terima daripada pihak-pihak berkenaan," katanya.

Terdahulu ketika merasmikan MICC itu, beliau berkata penubuhan pusat berkenaan dilihat mampu membantu kerajaan menangani isu yang melanda rakyat seperti soal kebajikan, ketiadaan sijil lahir dan kad pengenalan biru.

"Di Gemas, kita Barisan Nasional (BN) telah pun memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di sini dan dengan adanya MICC sebagai sebuah badan bukan kerajaan, ia mampu memberi nilai tambah kepada usaha yang dijalankan BN," katanya. -- BERNAMA