Kementerian Pendidikan menangguhkan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang sepatutnya berkuat kuasa mulai tahun depan.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan hari ini, penangguhan itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada guru, murid serta pihak berkaitan membuat persediaan yang lebih rapi.

Lembaga Peperiksaan turut mengumumkan Peperiksaan Pusat Amali Sains membabitkan mata pelajaran Fizik (Kod 4531), Kimia (Kod 4541), Biologi (Kod 4551) dan Sains Tambahan (Kod 4561) yang sepatutnya dilaksanakan dalam SPM mulai tahun depan juga ditangguhkan.

Penangguhan itu bertujuan memastikan fasiliti dan kelengkapan bilik makmal sains sekolah di seluruh negara mencapai piawaian yang ditetapkan sebelum peperiksaan itu dilaksanakan, katanya.

"Kementerian Pendidikan berharap semua pihak yang berkaitan mengambil maklum berkenaan penangguhan ini," menurut kenyataan itu.

Cadangan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris dalam SPM dibuat pada 2013 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan pada ketika itu.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata syarat itu seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Pada 2012, Muhyiddin mengumumkan bahawa cadangan memperkenalkan Peperiksaan Berpusat Amali Sains dalam SPM adalah satu daripada 15 perakuan dalam usaha menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah.

Lima belas perakuan itu merupakan sebahagian daripada 61 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera yang ditubuhkan kementerian pada 2 Feb 2012 dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Peperiksaan Pusat Amali Sains itu sepatutnya dilaksanakan mulai tahun ini (2015) namun ditangguhkan.