KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan pengisytiharan darurat di Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kerusi berkenaan ditangguhkan.

Menurut Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, perkenan Yang di-Pertuan Agong itu seiring dengan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu membolehkan kedua PRK terbabit tidak dapat diteruskan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akur dengan keputusan dan kenyataan YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi membolehkan suatu ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK bagi Parlimen P.054 Gerik Perak dan DUN N.66 Bugaya Sabah, selepas diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah," kata beliau dalam kenyataan media pada Rabu.

BACA: Agong perkenan isytihar darurat bagi PRK Gerik dan Bugaya - PM

Terdahulu, Perdana Menteri dalam kenyataan media memaklumkan, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat di Gerik dan Bugaya menyebabkan PRK di kedua-dua kerusi itu perlu ditangguhkan sehingga ke tarikh baharu.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sultan Abdullah memperkenankan perkara itu selepas berpuas hati dengan adanya keperluan berbuat demikian.

Abdul Ghani berkata, sehubungan pengisytiharan itu sebarang prosiding yang telah bermula bagi perjalanan PRK bagi PRK P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya tidak akan diteruskan.

Sebaliknya, jelas beliau, satu tarikh lain akan ditetapkan bagi kedua-dua PRK berkenaan.

SPR sebelum ini mengumumkan PRK Gerik dan Bugaya masing-masing akan diadakan pada 16 Januari depan susulan kematian wakil rakyat dia kedua-dua kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia pada 16 November lalu akibat sakit jantung.

Sehari selepas pemergian Hasbullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, pula menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu selepas mengalami masalah buah pinggang.